Mujahid: Misi selamatkan TH kejayaan besar PH
PUTRAJAYA - Kejayaan menyelesaikan kemelut Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan antara pencapaian besar Pakatan Harapan (PH) dalam setahun mentadbir negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, keutamaannya adalah untuk mengembalikan kredibiliti TH serta mengukuhkan semula kedudukan institusi kewangan Islam itu yang berada di bawah portfolionya.
Katanya, setelah melalui proses pemulihan dan penstrukturan semula, TH telah kembali kepada landasan asal dan kini menuju jalan ke arah masa hadapan yang lebih baik.
“Kita telah mulakan pakej menyelamatkan TH sejak kita (PH) ambil alih pentadbiran negara. Pada Disember 2018 kita isytiharkan kedudukan TH yang amat menyedihkan dan berlakunya pelanggaran akta yang menyebabkan ia menjadi antara skandal yang besar dalam sejarah negara kita.
“Kita datang menyelamat bagi memastikan TH dan pendeposit serta wang mereka dijamin keselamatannya. Alhamdulillah telah kita lunaskan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini baru-baru ini sempena setahun pentadbiran PH.
TH berjaya mencatatkan jumlah aset RM76.5 bilion berbanding jumlah tanggungan RM75.5 bilion, sekali gus membolehkan agihan hibah tidak melebihi RM1 bilion dibuat bagi tahun 2018 walaupun tidak pada kadar tinggi seperti sebelumnya memandangkan TH baru sahaja pulih.
Mujahid berkata, usaha menyelamatkan TH itu merupakan antara perkara utama yang dijanjikan PH dalam manifestonya selain skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Pada 9 Mei lepas, PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 setelah 60 tahun mentadbir negara.
Mujahid berkata, antara pencapaian lain di bawah pentadbiran kerajaan baharu itu adalah memperkasakan undang-undang Islam bagi membolehkan semua sekolah agama, pusat tahfiz dan tadika Islam di Wilayah Persekutuan berdaftar dan dikawal selia Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Selain itu, katanya, JPM bercadang memperkenalkan Mahkamah Khusus Kes Nafkah dan Hadnanah yang akan dibentang kepada Kabinet pada 8 Mei ini sebagai mahkamah khusus membicara dan menyelesaikan kes-kes Mahkamah Syariah yang melibatkan tuntutan bekas isteri terhadap bekas suami berkaitan pembayaran nafkah dan hak
Turut akan dibentangkan kepada Kabinet dijangka pada Jun ini adalah usaha menggubal undang-undang berkaitan profesion guaman Syarie (Wilayah-wilayah Persekutuan) ekoran ketidakseragaman amalan undang-undang itu antara negeri-negeri lain dan dapat ditadbir urus dengan lebih telus.
Menteri itu turut melakukan perubahan dengan tidak memegang sebarang jawatan pengerusi mana-mana agensi di bawahnya berbanding sebelum ini bagi mengelak campur tangan kuasa antara menteri dan agensi serta membolehkan setiap agensi bergerak secara profesional.
Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, beliau turut berjaya melaksanakan reformasi agensi dengan memperkenalkan tiga konsep gagasan pentadbiran Islam iaitu Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia kepada 13 agensi yang berada di bawahnya.
Sepanjang tempoh peralihan kepada Malaysia baharu, pencapaian lain yang dihasilkan beliau adalah mewujudkan konsep Masjid RAHMAH bercirikan ramah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat.
Di peringkat antarabangsa pula, Mujahid dilantik oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Khas untuk berurusan dengan Bosnia Herzegovina dan hasil daripada itu, Malaysia Bosnia Trade Cooperation Association (MBTCA) berjaya ditubuhkan sebagai badan induk bagi membantu mengembangkan ekonomi dua hala antara Malaysia dan Bosnia sekali gus meningkatkan pelaburan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!