Lelaki hina Agong, Raja Permaisuri diperintah ke Hospital Bahagia
KUALA LUMPUR - Seorang penjual daging yang pernah dihukum penjara buat kali ketiga kerana membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, diperintah ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk menjalani rawatan psikiatri selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan sama, di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Sharil Mohd Sarif, 40, diperintahkan untuk ke hospital itu selepas mengaku mempunyai masalah mental, sejurus pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, N Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, Sharil menggunakan profil Twitter ‘SharilSarif39’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik membabitkan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada jam 5.28 dan 5.30 pagi, 12 Mac lalu.
Kenyataan itu dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada jam 8.22 malam, keesokannya.
Pendakwaan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Sharil yang tidak diwakili peguam berkata, sebelum ini, dia telah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Sungai Petani, Kedah.
“Saya mengaku salah atas pertuduhan dan memang ada masalah mental, kakak yang bawa saya ke sana,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal berkata, pendakwaan tidak menerima laporan daripada pegawai penyiasat berhubung dakwaan tersebut.
“Pegawai penyiasat hanya dimaklumkan secara lisan bahawa keadaan mental tertuduh tidak stabil,” katanya.
Priscilla tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes termasuk perkembangan rawatan berkenaan pada 16 Jun ini.
Pada 26 April 2019, Sharil dipenjara dua bulan oleh mahkamah sama, atas pertuduhan menghina Agong melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan profil nama Sharil Chain.
Pada 6 Julai 2020 pula, dia dipenjara 10 bulan atas kesalahan menghina, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah.
Pada 24 September 2021, dia dihukum penjara setahun dan denda RM20,000 kerana menghina Agong di laman sosial buat kali ketiga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!