Sanusi bakal hadir rasmi Hikam d'Langkawi anjuran Geng Ustaz

Hikam d'Langkawi diadakan di pada 24 Mei ini.
Hikam d'Langkawi diadakan di pada 24 Mei ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) menganjurkan Himpunan Kesatuan Alam Melayu (Hikam) d'Langkawi bagi mempromosikan keunikan budaya warisan Melayu Islam di Langkawi pada 24 Mei ini.

Presiden Geng Ustaz, Ahmad Dusuki Abd Rani berkata, pihak penganjur menyasarkan penyertaan kira-kira 10,000 hadirin terdiri daripada pimpinan masyarakat, ahli-ahli badan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik dan lapisan masyarakat umum khasnya di pulau pelancongan tersebut.

Menurutnya, festival yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut disokong gerakan Proklamasi Orang Melayu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tambahnya, hadirin boleh menandatangani butiran menyokong proklamasi tersebut ketika program berlangsung.

"Hikam d'Langkawi yang bertemakan 'Melayu Beradab, Bersendi Syariat' ini diadakan dengan objektif untuk memberi kefahaman dan mempromosi kepada peserta tentang keunikan budaya warisan Melayu Islam di Malaysia selain memartabatkan jati diri kemelayuan dalam kalangan masyarakat Melayu Islam serta menarik minat masyarakat bangsa lain.

"Penganjuran Hikam d'Langkawi bersesuaian dengan program Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) 2023 kali ke-16, sekaligus mempromosikan kebudayaan Melayu serta mengangkat daya tarikan keunikan budaya warisan masyarakat Malaysia ke persada dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Dusuki berkata, antara acara menarik sempena Hikam d'Langkawi adalah persembahan kebudayaan warisan Melayu, pameran alatan traditional, silat, busana serta bicara sejarah tamadun Melayu Langkawi, selain jamuan rakyat dengan juadah istimewa orang Melayu dan gerai-gerai jualan.

Jelasnya, program tersebut juga diserikan dengan Bacaan Yaasin Perdana, Munajat Langkawi Sejahtera serta Persembahan Qasidah Soutul Nabawi yang turut disertai oleh beberapa selebriti dakwah terkenal tanahair.

"Acara kemuncak adalah Sembang Santai Menteri Besar Kedah dan Presiden Geng Ustaz yang berbual mesra serta bersoal-jawab dengan hadirin.

"Resolusi Hikam d'Langkawi dihasilkan melalui festival ini akan diserahkan kepada Menteri Besar Kedah, wakil-wakil rakyat dan pimpinan politik serta seluruh pimpinan NGO-NGO berkaitan," ujar beliau lagi.