'Satu sen tak terima peruntukan Pusat' - MP Hulu Selangor

Hasnizan menjelaskan MP pembangkang tidak menerima peruntukan daripada kerajaan Pusat.
Hasnizan menjelaskan MP pembangkang tidak menerima peruntukan daripada kerajaan Pusat.
A
A
A

HULU SELANGOR - Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun mendedahkan tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan Pusat sejak diangkat menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Hasnizan berkata, situasi sama dihadapi semua ahli Parlimen daripada pembangkang.

"Masa berlalu cukup pantas hari ini 19 Mei 2023 genap enam bulan saya telah diamanahkan oleh rakyat Hulu Selangor untuk memimpin Hulu Selangor.

"Selama enam bulan ini jugalah saya dan teman-teman MP Pembangkang tidak terima satu sen pun dana peruntukan dari kerajaan Persekutuan," kongsi Hasnizan di Facebook beliau pada Jumaat.

Menurutnya, situasi tersebut menyukarkan menjalankan amanah sebagai wakil rakyat dan membantu mengikut kemampuan.

"Terlalu ramai yang berjumpa, menghantar surat untuk memohon sumbangan. Ada di kalangan mereka memang jelas memerlukan bantuan.

"Saya hanya mampu membantu ikut kepada kemampuan saya sahaja. Itu pun kawan-kawan saya dan NGO (badan bukan kerajaan) turut membantu saya.

"Semoga ALLAH SWT beri kekuatan kepada kami MP Pembangkang untuk terus berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pihaknya bersedia mengenepikan perbezaan politik dan bekerjasama untuk menyelesaikan permohonan sumbangan demi kesejahteraan penduduk Batang Kali.

"Saya bukanlah orang yang layak bercakap tentang apa yang berlaku di peringkat Pusat tetapi yang menarik perhatian saya adalah tentang kebajikan dan keperluan orang Batang Kali.

"Dengan berbaki dua bulan tempoh tugas, saya berhasrat untuk duduk semeja dengan beliau bagi melihat semula permohonan yang dapat diselesaikan bersama.

"Bantuan berupa sumbangan dan kerja-kerja baik pulih kecil yang mendesak masih ada peruntukan yang boleh diselaraskan di peringkat saya," katanya.

Beliau yakin, pelawaan itu tidak akan ditolak Hasnizan demi kebaikan penduduk Batang Kali.

"Untuk rekod, permohonan yang serupa juga banyak yang telah dan sedang diteliti di pejabat Penyelaras Dun ketika ini.

"Begitu pun semua sumbangan dan peruntukan ini adalah tertakluk dibawah proses dan tatacara yang telah termaktub," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!