Jangan lakukan pembakaran terbuka - JAS
KEPALA BATAS - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan negara kini sedang dilanda Fenomena El Nino.
Pengarahnya, Norazizi Adinan berkata, bagi mengekang perbuatan pembakaran terbuka itu, pihaknya kini giat menjalankan pamantauan di seluruh negeri setiap hari.
Menurutnya, mereka yang dikesan melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 29A (2) atau 29B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun.
“Jadi, kita harap masyarakat akan sama-sama menjaga alam sekitar dan tidak memburukkan lagi keadaan kerana selain masalah setempat, kualiti udara kita turut dipengaruhi jerebu dari negara lain,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Taklimat Larangan Pembakaran Terbuka Bersama Kakitangan Wisma Persekutuan Seberang Perai Utara (SPU) di Wisma Persekutuan SPU di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Norazizi berkata pihaknya menerima 333 aduan berhubung pembakaran terbuka bermula awal tahun ini sehingga April lalu.
Jelasnya, sebanyak 229 kes yang direkodkan meliputi aduan pencemaran udara manakala selebihnya membabitkan aduan pencemaran udara yang disebabkan pembakaran terbuka.
“Kalau nak diikutkan, kita boleh nampak penurunan sebanyak 48 peratus susulan sebanyak 933 aduan yang diterima pada tahun lalu berbanding 710 kes pada tahun 2021,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!