Ugut bunuh rakan kerana tidak kemas bilik, buruh didenda RM4,000
SHAH ALAM - Dek kerana marahkan rakan serumah ekoran tidak mengemas bilik, seorang buruh didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengugut bunuh mangsa dengan membawa pisau, bulan lalu.
Mohd Khairul Izuwan Che Rahim, 35, dikenakan hukuman itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Mahkamah turut memerintahkan dia dihukum penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap seorang lelaki yang bekerja sebagai operator kilang berusia 23 tahun, sambil membawa senjata berkenaan di sebuah rumah di Kampung Sri Aman, Puchong pada jam 6 petang, 1 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, semasa kejadian, mangsa yang telah menjadi rakan serumah sejak dua tahun lalu, dimarahi kerana tidak mengemas bilik.
Tertuduh juga bertindak membakar kasut, baju serta seluar mangsa lalu mengejarnya menggunakan senjata itu dengan menyatakan "aku dapat kau, aku bunuh kau,".
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman denda.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Erneetha Kaur Baghwant Singh memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!