Tiada inisiatif serius berhubung cadangan MRSM berbayar

Datuk Dr Asyraf Wajidi Dasuki berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara MARA dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di Menara MARA pada Jumaat. - Foto Bernama
Datuk Dr Asyraf Wajidi Dasuki berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara MARA dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di Menara MARA pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada inisiatif serius berhubung cadangan untuk memperkenalkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar setakat ini, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, cadangan itu merupakan cetusan dan hasrat daripada ahli-ahli alumni, Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara) yang telah dibincangkan sejak 2017 yang mahu MRSM berbayar diwujudkan untuk golongan berpendapatan tinggi.

"Kita belum ada apa-apa inisiatif secara serius kerana isu utamanya adalah bagaimana kita nak menyantuni kehendak alumni Ansara yang kini mencecah 220,000 dengan kebanyakannya adalah golongan T20 yang bersaing dengan B40 diperingkat MRSM,” katanya kepada media selepas hadir program Hari Mara Bersama Rakyat dan Jelajah Pendidikan Luar Bandar, di sini pada Jumaat.

Namun katanya, MARA masih lagi memberi fokus untuk mengekalkan polisi 60 peratus dalam kalangan B40 di semua MRSM seluruh negara bagi memastikan golongan itu tidak berasa terasing dalam kalangan mereka dari kumpulan M40 dan T20.

"Itu yang mereka mencadangkan dan kita di peringkat MARA akan sentiasa memperhalusi. Cuma yang kita sekarang tahu MARA telah menangguhkan pembangunan MRSM baharu dan fokuskan dulu kepada 55 MRSM.

"Ada dua lagi MRSM yang mula beroperasi hujung tahun ini selain akan tambah baik infrastruktur dan prasarana sedia ada,” katanya.

Pada Mac lepas, Asyraf Wajdi mencadangkan agar MRSM berbayar diwujudkan khusus untuk segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi yang boleh diuruskan oleh Kumpulan Mara Corporation (Mara Corp). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!