YBR bantu 60 sekolah, sumbang 31 kerusi roda, katil di Sabah
SHAH ALAM - Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan kepada 60 sekolah rendah termasuk menengah di Sabah bagi membantu sesi persekolahan yang telah bermula sejak Mac 2023 melalui program Bantuan Persekolahan YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, bantuan persekolahan itu melibatkan kumpulan pelajar dari kalangan asnaf dan keluarga B40 bagi membantu meningkatkan akademik mereka.
“Bantuan ini diharapkan dapat membantu pihak sekolah dalam meningkatkan pencapaian akademik murid-murid melalui sesi pengajaran dan pembelajaran (P dan P) yang baru.
“Saya juga amat berterima kasih dan menyokong inisiatif YBR serta berharap lebih banyak entiti korporat, badan bukan kerajaan (NGO) termasuk organisasi lain dapat turut sama membantu dalam memberi bantuan tanpa mengira bentuk atau nilai wang ringgit bagi memartabatkan pendidikan,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, pemberian bantuan ini diberikan di dua daerah iaitu Penampang dan Kadamaian sebagai usaha membantu komuniti setempat.
“Bantuan yang disalurkan kepada pihak sekolah ini diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi suntikan semangat dan motivasi kepada pihak sekolah untuk membantu murid-murid serta sebagai tanda ingatan YBR dalam membantu komuniti setempat.
“Usaha ini juga menjadi salah satu strategi dalam membantu masyarakat terutamanya di dalam bidang pendidikan bagi meningkatkan sosioekonomi rakyat terutamanya di Sabah,” jelasnya.
Sementara itu, dalam satu majlis, Ewon turut menghulurkan bantuan sebanyak 31 buah kerusi roda dan katil kepada warga emas di sekitar Penampang serta Kota Belud.
“Diharapkan bantuan ini dapat beri sedikit sebanyak dapat melancarkan lagi aktiviti harian dan menjadikan kehidupan mereka yang terjejas menjadi lebih produktif,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!