PRN: Ahmad ajak pengundi UMNO pangkah calon DAP

 Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) diminta memilih calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.

"Disiplin parti itu memastikan arahan parti dituruti. Memanglah undi itu rahsia tetapi gesaan saya adalah bukan (undi) atas nama parti atau DAP, tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan.

"Kerajaan Perpaduan ini titah Yang di-Pertuan Agong apabila Parlimen tergantung, jadi kita akur, setia pada titah Baginda," katanya pada satu sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesudian penyokong UMNO untuk mengundi DAP dalam PRN di enam negeri akan datang.

Dalam pada itu beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan turut mengingatkan ahli UMNO untuk meninggalkan sentimen pada diri masing-masing ekoran perubahan landskap politik Malaysia yang ketara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Kita melihat apa yang sudah berlaku itu, sudah berlaku. Sekarang kita inginkan kestabilan sebagaimana saya sebut tadi.

"Calon yang bertanding bukan atas nama DAP atau PH (Pakatan Harapan) sahaja, tetapi secara keseluruhan sebagai Kerajaan Perpaduan," ujarnya.

Ahli Parlimen Pontian itu turut menyokong sekiranya Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang diawalkan supaya keadaan politik di negeri berkenaan lebih stabil.

"Semua 19 parti yang berada di Dewan Merdeka WTC itu melambangkan kestabilan, tidak pernah kita miliki kerajaan yang begitu banyak parti di dalamnya. Semua sekali sepakat pakai baju putih, simbol kebersihan dan kesucian dengan apa yang ingin dilaksanakan.

"Kalau boleh, konvensyen dapat dilakukan untuk enam negeri yang bakal melalui PRN. Buat di peringkat negeri supaya akar umbi boleh menyatakan perpaduan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!