Penduduk, peniaga rimas kerap alami gangguan bekalan air

Aziah menunjukkan air yang disimpan dalam tong bertukar keruh. (Gambar kecil: Rosni, Muhammad Puniran)
Aziah menunjukkan air yang disimpan dalam tong bertukar keruh. (Gambar kecil: Rosni, Muhammad Puniran)
A
A
A

KUALA SELANGOR - Rata-rata penduduk dan peniaga di Kampung Bukit Kerayong di sini, rimas dengan kekerapan gangguan bekalan air, namun tetap membuat persiapan awal sebagai persediaan menghadapi masalah itu pada Isnin depan.

Seorang penduduk, Rosni Selamat, 68, berkata, penduduk sudah lali dengan kekerapan gangguan bekalan air di kampung berkenaan.

Menurutnya, masalah itu seolah-olah tiada penyelesaian dan lebih merumitkan jika ia berlarutan lebih tiga hari berturut-turut.

"Selepas berpindah ke sini sejak 10 tahun lalu, memang kerap kami alami gangguan bekalan air yang tentunya menyukarkan urusan kami sekeluarga.

"Kami faham gangguan ini tidak dapat dielakkan, tetapi jika boleh masalah ini dapat diatasi pada masa akan datang," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Rosni berkata, pada masa ini penduduk terpaksa menyimpan air ke dalam tangki bagi kegunaan semasa gangguan tersebut.

"Saya sendiri sediakan 750 liter tangki air di rumah dan mungkin mampu bertahan dua hari sahaja bergantung kepada kekerapan penggunaan," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Puniran Salip, 64, berkata, isu terputus bekalan air membelenggu penduduk sejak 10 tahun kebelakangan ini.

Katanya, rutin harian mereka sekeluarga terjejas dan menimbulkan kesulitan lebih-lebih lagi kepada keluarga ramai.

"Saya sendiri akui memang tak mencukupi untuk menyimpan air kerana hanya menggunakan tong air sahaja.

"Jika air daripada tong air habis, maka kami terus terputus bekalan," ujar bapa empat anak itu.

Seorang lagi penduduk, Mohd Misri Misdar, 50, berkata, keluarganya menyimpan bekalan air menggunakan baldi dan besen sedia ada.

Mohd Misri menunjukkan besen dan baldi digunakan bagi menyimpan air bagi menghadapi gangguan bekalan pada Isnin depan.
Mohd Misri menunjukkan besen dan baldi digunakan bagi menyimpan air bagi menghadapi gangguan bekalan pada Isnin depan.

Jelasnya, masalah air juga meningkatkan jumlah perbelanjaan kerana terpaksa membeli air mineral.

"Sebenarnya apabila terputus bekalan air ini, kami berhabis duit membeli air mineral lebih-lebih lagi penggunaan air minuman meningkat pada musim panas ini," katanya.

Seorang peniaga kedai makan, Aziah Parini, 47, berkata, buat masa ini dia menyimpan bekalan air daripada tong simpanan.

Bagaimanapun, katanya, air yang disimpan di dalam tong itu bertukar keruh dan berubah warna 'karat'.

"Jika keadaan berterusan, mungkin saya terpaksa menutup kedai makan kerana air ini mungkin hanya boleh digunakan untuk cuci tangan atau membasuh pinggan mangkuk," jelas Aziah.

Ujarnya, tidak mustahil peniaga kedai makan terpaksa menanggung kerugian kerana tidak dapat beroperasi seperti sedia kala.

"Saya tengok keadaan macam mana? Jika air masih keruh mungkin kita tak dapat buka kedai makan Isnin depan," tambahnya.

Seorang peniaga kedai dobi, Mohd Misri Misdar, 50, berkata, tangki air berkapasiti 1,000 gelen di premisnya hanya mampu bertahan dua hari sahaja.

Bagaimanapun, katanya, jangkaan itu lebih awal sekiranya berlaku peningkatan pelanggan yang datang membasuh pakaian.

Ujarnya, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) perlu mencari jalan penyelesaian membantu penduduk dan peniaga yang berdepan masalah itu.

"Kita harap lori-lori tangki dapat digerakkan ke setiap rumah dan kawasan premis perniagaan yang memerlukan sumber bekalan air.

"Keadaan ini sedikit sebanyak dapat meredakan keresahan kami yang memang memerlukan keperluan asas ini secara berterusan," jelasnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sebanyak 99 kawasan di Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor m mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Isnin depan.

Air Selangor dalam kenyataan berkata, gangguan itu disebabkan pelaksanaan kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cerakah, Bandar Puncak Alam di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!