Kerajaan negeri kerja keras tangani isu bekalan air, elektrik Sabah

Hajiji
Hajiji
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa kerajaan negeri Sabah mengambil pelbagai langkah, termasuk menyediakan pelan kecemasan bagi menangani isu-isu berkaitan pembekalan air dan tenaga elektrik, yang memberi kesan kepada kemaslahatan Sabah.

Beliau berkata, isu berkaitan bekalan air dan tenaga elektrik adalah isu-isu yang diwarisi sebelum ini, dan kerajaan negeri semasa, sedang mengambil pelbagai langkah bagi menanganinya.

"Pagi ini saya telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Mohd Yaakob Jaafar untuk memberi taklimat kepada saya mengenai langkah-langkah segera dan masa depan bagi menangani masalah berkaitan gangguan bekalan elektrik yang menyusahkan ramai,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengenai isu pembekalan air, katanya, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong untuk mengambil tindakan drastik bagi membetulkan pentadbiran pengurusan air negeri.

"Kita sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini, kerana kita juga serius dalam usaha menarik kehadiran pelabur ke Sabah. Kedua-dua kemudahan ini amat penting kepada pelabur.

"Kita telah menarik pelabur berimpak tinggi untuk menempatkan projek-projek mereka di sini, seperti SK Nexilis, pengeluar kaca solar Kibing, Linaco serta Esteel, dan kita ingin lihat lebih banyak lagi, kita benar-benar serius,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan pelan tindakan bagi memperbetulkan isu-isu berkenaan, dan jaminan serta komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu Sabah, beliau yakin penyelesaiannya pasti tiba. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!