Semoga Sanusi insaf - Mahfuz

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

ALOR SETAR - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar bersyukur Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akur dengan hakikat bahawa beliau telah memfitnahnya berkaitan isu perpindahan premis judi dari Alor Setar ke kawasan Pokok Sena pada 2019.

Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beliau berharap Muhammad Sanusi insaf dengan perbuatannya itu.

Katanya, sekiranya Muhammad Sanusi berasakan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan itu tidak betul, sudah pasti beliau akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

"Tetapi memandangkan Sanusi tidak teruskan dengan rayuan ke peringkat Mahkamah Persekutuan, nampaknya Sanusi akur dan bersetuju dengan apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa Sanusi telah memfitnah saya.

"Sanusi juga akhirnya akur bahawa saya hakikatnya tidak ada langsung sebarang kaitan dengan pemindahan premis pusat judi seperti yang difitnahnya," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, keputusan mahkamah yang mendapati Pengarah Pilihanraya Pas Pusat itu bersalah memfitnahnya membuktikan tidak pudar sentivitinya terhadap isu-isu seperti yang didakwa oleh Sanusi dalam fitnahnya.

"Alhamdulillah, semoga keinsafan Sanusi ini berkekalan dan tidak lagi koyak," katanya.

Muhammad Sanusi sebelum itu membuat permohonan maaf kepada Pengerusi PH Kedah itu menerusi laman Facebooknya pada Jumaat.

Kenyataan maaf itu dibuat berdasarkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 8 November 2021.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!