Penyertaan luar biasa RHB Lekas Highway Ride 2023
EDISI kelapan RHB Lekas Highway Ride 2023 mendapat sambutan luar biasa apabila seramai 6,000 peserta telah pun mengesahkan penyertaan acara berbasikal itu yang bakal berlangsung di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), pada 21 Oktober depan.
Acara berbasikal yang dilabel sebagai kayuhan berbasikal lebuh raya nombor satu pada sebelah malam itu juga berjaya menarik penyertaan peserta tempatan serta antarabangsa.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Bank Group, Mohd Rashid Mohamad berkata, sejak dianjurkan pada 2012, acara berbasikal itu mendapat sambutan cukup menggalakkan dalam setiap edisi.
"Disebabkan sambutan yang cukup menggalakkan, kami telah memutuskan untuk meningkatkan bilangan kepada 6,000 penyertaan tahun ini.
"Kami berharap dapat membawa satu lagi acara berbasikal yang tidak dapat dilupakan dan menarik serta memberi impak yang lebih besar pada tahun ini.
"Dalam tempoh 10 hari sejak pendaftaran dibuka 1 Mei lalu, kami telah mencapai 6,000 pendaftaran, mengatasi jumlah peserta tahun lalu. Ia adalah sambutan yang amat menggalakkan daripada peminat sukan berbasikal di negara ini," katanya pada sidang media pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan sambutan menggalakkan yang diterima daripada setiap peserta.
"Acara ini telah mencapai kemuncak kejayaannya, dengan proses pendaftaran sudah penuh," katanya
Sebanyak empat kategori ditawarkan pada edisi kali ini iaitu 120 kilometer (km), 78km, 22km dan 12km.
Untuk edisi kali ini, pihak penganjur memperkenalkan kategori baharu membabitkan wanita veteran 78km manakala bagi kategori remaja menyaksikan pertambahan laluan sepanjang 22km berbanding 17km sebelum ini.
Sebagai rekod, RHB Lekas Highway Ride 2023 adalah acara anjuran bersama RHB Banking Group (RHB) dan Lekas, yang merupakan anak syarikat kepada IJM Corporation Berhad.
Untuk melancarkan penganjuran kayuhan berbasikal itu, laluan sepanjang Lebuhraya Lekas akan ditutup bermula jam 5 petang 21 sehingga 3 pagi 22 Oktober.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!