Henti sentimen MRSM dua darjat
TINDAKAN Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menangguhkan idea penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar diharapkan mampu menghentikan sentimen sensasi dua darjat.
Sebelum ini, isu tersebut hangat menjadi bualan ramai apabila ada golongan berpendapatan tinggi (T20) yang sanggup mengeluarkan wang untuk menghantar anak mereka ke MRSM sehingga tercetusnya idea untuk membina institusi pengajian itu dengan konsep berbayar.
Bagaimanapun, menurut laporan muka depan Sinar Harian pada 20 Mei, Asyraf Wajdi memaklumkan tiada inisiatif serius berhubung cadangan untuk memperkenalkan MRSM berbayar setakat ini.
Menurutnya, cadangan itu merupakan cetusan dan hasrat daripada ahli-ahli alumni Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara) yang telah dibincangkan sejak 2017 yang mahu MRSM berbayar diwujudkan untuk T20.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi memaklumkan pihaknya akan memfokuskan untuk menaik taraf 55 MRSM.
Jelas beliau, ada dua MRSM yang bakal beroperasi pada penghujung tahun ini dan infrastruktur serta prasarana sedia ada akan ditambah baik.
Keputusan yang dibuat Setiausaha Agung UMNO itu adalah satu tindakan yang tepat kerana tiada keperluan untuk membina MRSM khusus untuk golongan berkenaan sedangkan terdapat lebih 180 sekolah swasta dan antarabangsa di Malaysia.
Pada 24 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan persoalan berhubung penubuhan MRSM berbayar.
Antara persoalan yang dibangkitkan adalah keperluan membina MRSM untuk T20 dan adakah Mara mahu memberi fokus kepada bidang perniagaan?
Justeru, diharapkan agar isu pembinaan MRSM berbayar tidak lagi perkatakan kerana ia secara tidak langsung mendatangkan keburukan kepada negara kerana ia akan menyebabkan munculnya dua kelompok masyarakat.
Sebaliknya, Mara perlu perlu memberi fokus untuk mengekalkan polisi 60 peratus dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) di semua MRSM di seluruh negara bagi memastikan kumpulan berkenaan tidak berasa terasing dari kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan T20.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!