Guna kereta sendiri tawar khidmat percuma hantar pesakit

Mohamad Alif Hafifi bersama kereta kesayangan yang digunakan untuk menghantar pesakit ke premis kesihatan sekitar Kuantan secara percuma.
Mohamad Alif Hafifi bersama kereta kesayangan yang digunakan untuk menghantar pesakit ke premis kesihatan sekitar Kuantan secara percuma.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja sebuah kedai aksesori kenderaan di sini menawarkan khidmat membawa dan menjemput pesakit golongan kurang berkemampuan ke hospital menggunakan kenderaan peribadinya secara percuma sejak dua minggu lalu.

Usaha murni Mohamad Alif Hafifi Mat Jusoh, 33, mendapat sambutan apabila ramai yang mengalami masalah pengangkutan menghubunginya untuk mendapat khidmat disediakan itu.

Anak kelahiran Pasir Tumbuh, Kota Bharu,Kelantan itu berkata, bantuan yang dihulurkan itu bukan untuk mencari publisiti seperti tanggapan sesetengah pihak sebaliknya niat untuk membantu orang ramai telah lama tersimpan di hatinya.

Menurutnya, selain untuk kegunaan sendiri dan keluarga, membantu orang ramai yang kurang bernasib baik antara tujuan utama dia berusaha untuk memiliki kereta sendiri.

"Allhamdulillah, ALLAH permudahkan usaha saya apabila berjaya memiliki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza beberapa bulan lalu.

Mohamad Alif Hafifi sanggup mengorbankan masa luangnya untuk membantu golongan kurang berkemampuan yang mengalami masalah pengangkutan untuk ke hospital dan premis kesihatan bagi mendapatkan rawatan.
Mohamad Alif Hafifi sanggup mengorbankan masa luangnya untuk membantu golongan kurang berkemampuan yang mengalami masalah pengangkutan untuk ke hospital dan premis kesihatan bagi mendapatkan rawatan.



"Sebagaimana niat asal saya, kenderaan itu telah digunakan untuk membantu menghantar dan mengambil pesakit menjalani rawatan di mana-mana hospital dan premis kesihatan di sekitar daerah ini," katanya.

Bapa kepada empat anak dari Inderapura itu berkata, pada awalnya khidmat yang disediakan itu hanya untuk penduduk di sekitar kejiranannya sahaja.

"Bila dapat sambutan, saya memberanikan diri menguar-uarkan khidmat ini melalui laman sosial Facebook.

"Ramai yang telah dibantu termasuk seorang pesakit buah pinggang kronik memerlukan kenderaan untuk dihantar menjalani rawatan di sebuah pusat dialisis di sini tiga hari seminggu," katanya.

Dia berkata, sebagai pegawai pemasaran di kedai aksesori itu, dia sentiasa berada di luar mencari pelanggan dan ada masa terluang untuk 'khidmat solo' membantu orang ramai yang menghadapi masalah pengangkutan untuk urusan rawatan.

Menceritakan permulaan kepada usaha murninya itu, Mohamad Alif Hafifi berkata, dilahirkan dalam keluarga yang pernah melalui kesempitan hidup, hatinya mudah tersentuh melihat kesusahan orang lain.

"Pernah satu ketika saya terserempak dengan pasangan suami isteri bersama bayi dan seorang anak kurang upaya (OKU) menaiki motosikal dalam cuaca panas terik di persimpangan lampu isyarat Permatang Badak di sini.

"Saya terfikir untuk bantu tumpangkan isteri dan anak-anaknya ke destinasi dituju namun tidak sempat berbuat demikian lalu mengikuti mereka hingga sampai ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

"Sedih melihat keadaan mereka dan saya memahami kesulitan itu kerana pernah mengalami nasib sama," katanya.

Dia berkata, sebelum memulakan khidmat itu, dia memaklumkan niat itu kepada keluarga termasuk isteri, Haniza Hanin Hamdan, 33, ibu, Rohana Mustapha, 59 dan adik beradiknya.

Mohamad Alif Hafifi Mat Jusoh
Mohamad Alif Hafifi Mat Jusoh

"Allhamdulillah semuanya memberi sokongan penuh dan merestui niat saya itu.

"Saya juga ada menerima panggilan daripada seorang individu untuk membantu sebagai 'back up' dalam usaha ini namun kami belum bertemu untuk berbincang lanjut," katanya.

Jelasnya, walaupun bantuan yang dihulurkan percuma namun ada pesakit yang tetap menghulurkan bayaran.

"Setakat ini saya menolaknya dengan baik kerana ikhlas untuk membantu.

"Setakat ini saya lebih selesa menggunakan wang sendiri untuk kos minyak dan sebagainya..

"Sebenarnya ada juga yang menghubungi untuk hulur sumbangan kewangan bagi membantu usaha ini namun saya terpaksa menolak kerana kereta ini juga digunakan untuk tujuan peribadi," katanya.

Menurutnya, pesakit yang ingin mendapatkan khidmatnya disaran menghubunginya lebih awal supaya mudah untuk mengatur jadual sesuai dengan kelapangannya.

"Insya-ALLAH, saya membantu sekadar termampu dan cuba memenuhi permintaan supaya urusan rawatan pesakit berjalan lancar," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!