Anggap kegagalan capai sasaran 40 emas satu 'rahmat'
MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menganggap kegagalan kontinjen Malaysia mencapai sasaran 40 pingat emas pada Sukan SEA Kemboja 2023 sebagai satu 'rahmat' dalam usaha meningkatkan lagi arena sukan tanah air.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Malaysia tidak boleh lagi menjadikan Singapura sebagai perbandingan, sebaliknya fokus untuk mencabar Vietnam, Thailand dan Indonesia dalam kelompok tiga terbaik di rantau Asia Tenggara.
"Kita perlu move on, jika dapat 40 pingat emas dan gembira, adakah ia akan mengubah kedudukan Malaysia di tempat ketujuh? Adakah kita negara yang buat perbandingan dengan Singapura menerusi perbezaan 17 emas atau Vietnam yang berbeza 102 emas.
"Saya percaya ini boleh dianggap 'rahmat' kerana semua orang akan gembira jika dapat 40 emas sedangkan kita masih jauh ketinggalan dengan Vietnam, Thailand dan Indonesia. Kita perlu kembali jadi tiga terbaik di Asia Tenggara.
"Hari ini saya nak beritahu bahawa model sukan di negara kita sudah lapuk dan perlukan perubahan. Dunia sudah berubah, begitu juga sukan, kita perlu terima perubahan dan bawa masuk idea baharu," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Jalil pada Jumaat.
Beliau turut memberi penekanan terhadap olahraga dan renang yang mencatat keputusan kurang memberangsangkan apabila kedua-dua sukan tersebut hanya menyumbang enam pingat emas daripada 87 yang dipertandingkan.
"Fakta ada di sana, tengok renang hanya mendapat satu daripada 39 pingat emas dan olahraga lima daripada 38 pingat emas. Semua pingat emas yang dipertandingkan dalam dua sukan ini adalah 87 pingat.
"Sejak Sukan SEA Filipina (2019) lagi saya sudah cakap mengenai olahraga dan renang yang mewakili 87 pingat emas tetapi kita buat tak tahu sahaja sedangkan ia merupakan sukan kategori satu pada temasya Sukan Olimpik.
"Jadi kita perlu buat keutamaan dengan betul dan kembangkan peranan masing-masing. Kita juga tidak boleh lagi merasa kita sahaja betul dan orang lain salah, tak boleh macam itu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!