Penunggang motosikal ditahan cubaan lolos pemeriksaan polis
KOTA TINGGI - Seorang penunggang motosikal yang bertindak melarikan diri ketika diarahkan berhenti bagi tujuan pemeriksaan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Jalan Permai-Taman Sedeli pada Jumaat berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 tengah hari ketika anggota URB terserempak dengan lelaki berusia lingkungan berusia 20-an yang menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran bahagian depan dan belakang.
Menurutnya, penunggang telah diarahkan berhenti tetapi bertindak melarikan diri ke Kampung Teluk Jeri sehingga terbabas di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.
"Pemeriksaan tubuh badan ke atas suspek dilakukan anggota URB tidak menjumpai apa-apa barang salah.
"Suspek dibawa ke balai polis kerana disyaki terlibat dalam penagihan dadah dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis heroin," katanya dalam kenyataan pada Sabtu
Dalam pada itu, Hussin berkata, tiga saman telah dikeluarkan ke atas suspek di bawah kesalahan topi keledar dan nombor pendaftaran.
Sebelum itu, tular video berdurasi 16 saat memaparkan kejadian kejar-mengejar membabitkan anggota URB dan suspek pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!