Chelsea perlu ambil inspirasi City

Lampard
Lampard
A
A
A

FRANK Lampard mahu para pemain Chelsea untuk belajar dan mengambil inspirasi daripada apa yang telah dilakukan oleh Manchester City dalam mengejar tiga kejuaraan berturut-turut menjelang pertembungan kedua-dua pasukan di Etihad pada Ahad.

City akan berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris sekiranya menang ke atas Chelsea, malah mampu bergelar juara lebih awal sekiranya Arsenal tewas pada Sabtu.

Ia akan menjadi gelaran kelima buat skuad kendalian Pep Guardiola dalam enam musim jika City muncul juara dan kemudian akan beraksi di final Liga Juara-Juara Eropah kedua mereka dalam tempoh tiga tahun menentang Inter Milan.

Pemburuan trofi seterusnya adalah pada aksi final Piala FA berdepan musuh setempat, Manchester United.

Prestasi cemerlang City ketika ini dapat dilihat apabila mereka membelasah juara Eropah, Real Madrid 4-0 Rabu lalu, kemenangan ke-17 dalam 19 perlawanan terakhir mereka.

Chelsea, yang pernah menjadi pesaing untuk trofi-trofi utama kini di tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris walaupun pemiliknya, Todd Boehly berbelanja besar memperkuatkan skuad sepanjang 12 bulan lalu.

Lampard berkata kerja keras City sepatutnya merangsang pemain Chelsea untuk bangkit musim depan.

"Anda pastinya perlu menghormati hari perlawanan. Tetapi satu-satunya inspirasi yang diperlukan oleh pemain muda ialah kesungguhan yang City untuk mencapai apa yang mereka ada.

"Ia bukan masa untuk mengangkat piala, ia adalah perjalanan Kevin De Bruyne, (Erling) Haaland, (Ilkay) Gundogan, dan perjalanan John Stones.

"Pemain-pemain perlu memahami perkara itu dan saat menjulang piala adalah hasil daripada kerja keras mereka sejak beberapa tahun.

"Pasukan ini jelas sekali bekerja keras dan apabila seseorang berhenti bekerja keras, orang lain masuk menggantikannya. Itu yang perlu difahami oleh pemain-pemain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!