Maritim tahan 4 kapal asing berlabuh tanpa kebenaran
KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tanjung Sedili menahan empat kapal kerana melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, penahanan kesemua kapal itu dilakukan menerusi Op Jangkar Haram selama seminggu bermula 13 Mei lalu.
Menurutnya, kapal pertama yang ditahan ialah kapal jenis pengangkut LPG berdaftar dari Singapura di kedudukan 17.7 batu nautika (bn) timur Tanjung Sedili Besar, ditahan sekitar jam 10.40 pagi pada 13 Mei lalu
"Seterusnya kapal tangki berdaftar dari Singapura ditahan di kedudukan 13.2 bn timur Tanjung Siang, jam 11.45 pagi pada 15 Mei. Diikuti Kapal ketiga yang berdaftar dari Indonesia ditahan pada jam 1.40 petang, di kedudukan 12.8 bn timur laut Tanjung Balau pada 17 Mei.
"Manakala kapal keempat pula ialah kapal jenis pengangkut berdaftar dari Monrovia, ditahan di kedudukan 30.5 bn timur Tanjung Sedili Kechil pada sekitar jam 3 petang pada 18 Mei," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Mohd Najib, kesemua empat nakhoda kapal terbabit didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia ketika diperiksa Maritim Malaysia.
"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. Penahanan kapal keempat tersebut telah menjadikan penahanan ke-28 atas kesalahan yang sama pada tahun ini dari pelbagai jenis kapal dan berdaftar dari pelbagai jenis negara termasuk Malaysia.
"Maritim Malaysia akan terus meningkatkan penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-man pihak bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!