Kanak-kanak lemas: Mangsa kedua ditemui selepas tiga jam

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lagi mangsa yang sebelum ini dilaporkan lemas di Sungai Masai berhampiran Flat Seri Intan, Bandar Seri Alam di sini ditemui pada pagi Sabtu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Pegawai Bomba, Sarhan Akmal Mohamad berkata, mangsa, Zahir Ajmal Mohd Idris, 13, ditemukan pada jam 7.38 pagi.

"Mangsa kedua ini turut ditemui pada jarak sekitar 50 meter dari lokasi dilaporkan hilang. Kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 8.33 pagi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam kejadian pada lewat petang Jumaat itu, kedua-dua mangsa dipercayai terjatuh dalam sungai berkenaan sebelum mangsa pertama, Mohd Danish Ahmad, 11, ditemui pada jam 4.28 pagi Sabtu.

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Masai, Indraputra Ibrahim berkata, pencarian dilakukan selepas ibu Zahir Ajmal membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya.

"Keluarga Zahir maklumkan anak bongsu daripada tiga beradik itu pergi bersama rakan-rakan untuk bermain di sekitar kawasan sungai itu sebelum terjatuh.

"Difahamkan, rakan-rakan mangsa yang turut bersamanya ketika kejadian bagaimanapun hanya memaklumkan perkara itu pada jam 10 malam," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!