PDP tubuh CDERT bantu operasi menerusi udara
TAMBUN - Persatuan Drone Perak (PDP) akan menubuhkan Pasukan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) bagi membantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terlibat dalam operasi di kawasan bencana.
Pengerusinya, Hadiman Ariffin berkata, pelbagai persediaan sedang dilakukan bagi menubuhkan pasukan yang terdiri dalam kalangan ahli-ahli yang memiliki pesawat udara tanpa pemandu itu.
Menurutnya, tujuan penubuhan pasukan itu adalah untuk memberi respon awal terhadap mana-mana operasi mencari dan menyelamat sekiranya diperlukan.
"Kita menerima respon yang baik daripada APM dan proses penubuhan pasukan ini sedang dilakukan berikutan beberapa ahli kami juga merupakan sukarelawan pegawai bersekutu agensi itu.
"Dengan kerjasama ini, ia juga dapat meringankan beban pasukan penyelamat dalam sesuatu operasi terutama melakukan tinjauan udara menggunakan dron," katanya selepas majlis Mesyuarat Agung Pertama PDP di Giatmara Tambun di sini pada Jumaat.
Tambah Hadiman, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak untuk melakukan pemantauan cerun, bukit dan tanah runtuh.
Jelasnya, perkara berkenaan masih di peringkat perancangan dan kerjasama terbabit dilakukan secara sukarela.
Hadiman yang juga seorang usahawan berusaha menarik lebih ramai penggiat dron untuk menyertai persatuannya.
"Kita akan berkongsi maklumat berkaitan dron dari segi Info semasa, model, teknologi baharu dan hebahan kursus yang ada selain menitik beratkan aspek keselamatan dan penggunaan yang betul.
"Persatuan juga mahu beri kesedaran terhadap undang-undang berkaitan penerbangan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Pengendali Drone perlu tahu larangan penerbangan di kawasan tertentu selain perlu memiliki permit daripada CAAM dan Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!