Ansara sokong MRSM berbayar ditangguhkan
KUALA LUMPUR - Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) (Ansara) menyokong penuh tindakan kerajaan menangguhkan sebarang pembinaan baharu termasuk idea penubuhan MRSM berbayar khusus untuk segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi.
Presiden Ansara, Mohd Fadzli Yusof berkata, pihaknya memegang pada prinsip bahawa perkara yang baik dan besar tidak seharusnya dilakukan secara tergesa-gesa dan memerlukan masa.
Menurutnya, pelbagai perkara perlu diambil kira sebelum ia dilaksanakan antaranya cara pengisian teknikal, modul dan juga konsep bagi memudahkan pengurusan pada masa akan datang.
"Kita sendiri akan berjumpa dengan pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi membantu pelaksanaannya. Salah satu cara boleh guna konsep 'intake' berbayar, mungkin golongan T20 bayar lebih atau bagaimana, kita boleh tengok.
"Selain itu, kita juga boleh lihat aliran apa yang perlu dibayar, modul pendidikan pun kena tengok," katanya ketika ditemui pada Majlis Mega Raya Ansara Malaysia.
Turut hadir, Timbalan Presiden Ansara, Taufiq Hussien dan Naib Presiden Ansara, Imelda Maya Haris.
Pada Jumaat, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan penangguhan sebarang pembinaan baharu MRSM termasuk idea penubuhan MRSM berbayar.
Sebaliknya, Mara sedang fokus menambah baik prasarana sekolah sedia ada memandangkan kebanyakannya sudah berusia puluhan tahun.
Dalam pada itu, Mohd Fadzli berkata, Ansara juga bersedia menawar kepakaran dan pengalaman jika diperlukan bagi membantu pelaksanaan perkara tersebut.
"Bagi saya benda yang penting kita harus buat dengan berhati-hati. Ambil masa pun tidak mengapa kerana MRSM ini adalah satu jenama besar malah telah melahirkan ramai graduan yang berkualiti tinggi.
"Jadi, untuk adakan sesuatu perkara sepenting MRSM berbayar ini, kita harus mengambil masa," ujarnya
Beliau turut berpandangan, MRSM menjadi pilihan semua pihak kerana kualiti institusi tersebut.
"Tidak kira mereka daripada golongan mana sama ada B40, M40 mahupun T20, mereka memilih untuk menghantar anak ke MRSM kerana percaya dapat melahirkan insan cemerlang.
"Lagipun, konsep berbayar ini dapat menjana pendapatan MRSM pada masa akan datang," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!