PRN: Muhyiddin yakin 70 peratus pengundi Melayu pilih PN

Muhyiddin beramah mesra dengan tetamu yang hadir Majlis
Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh dan DUN Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh pada Sabtu.
Muhyiddin beramah mesra dengan tetamu yang hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh dan DUN Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh pada Sabtu.
A
A
A

MUAR - Perikatan Nasional (PN) yakin mampu meraih sekurang-kurangnya 70 peratus pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan tinjauan dan data yang dikumpulkan sebelum ini, kebanyakan rakyat menunjukkan minat kepada PN.

Malah kata beliau, PN kini dilihat lebih ke hadapan dari segi populariti dan rakyat boleh menilai hala tuju negara di mana PRN bakal menjadi penanda aras baharu politik.

"Saya yakin, walaupun tidak 100 peratus, tapi 70 hingga 80 peratus sokongan rakyat terutama orang Melayu sangat baik. Daripada kajian, kita dapatkan pandangan mereka, seperti di Selangor nampaknya kita agak ke hadapan.

"Trend sokongan kepada PN ini semakin meningkat berdasarkan situasi semasa berlaku dalam negara, UMNO serta politik Kerajaan Perpaduan.

"Semua ini akan dinilai oleh mereka. Saya jangka sebahagian besar rakyat kecewa apa yang sedang berlaku dalam negara, mereka tidak lihat keberkesanan, cakap banyak tetapi cakap tidak serupa bikin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh dan DUN Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah kekal menggunakan logo PN pada PRN masing-masing.

Manakala bagi Kelantan dan Terengganu pula, PN tidak berdepan masalah jika Pas mahu menggunakan parti mereka di negeri berkenaan.

“Setakat hari ini kita kekalkan, kecuali kalau Pas ada perubahan. Sebelum ini Pas menerima logo PN di Kedah dan mereka gunakannya sampai sekarang, mereka masih kekalkannya.

“Tapi di Kelantan dan Terengganu kalau mereka akan gunakan logo Pas tidak mengapa kerana orang sudah kenal PN untuk PRN. Tetapi secara dasarnya hubungan kita dalam PN cukup baik. Malah ada kemajuan dalam kerjasama ini jika nak dibandingkan dengan PRU yang lepas,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!