KPDN nafi harga gula naik, bekalan mencukupi
JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan kononnya harga gula akan dinaikkan dalam masa terdekat seperti yang tular dalam media sosial.
Menterinya, Datuk Seri Salahddin Ayub berkata, kerajaan memberi jaminan harga gula tidak akan dinaikkan dan bekalannya masih mencukupi di pasaran.
Menurutnya, bagi memastikan bekalan gula mencukupi, tiga pertemuan sudah diadakan dengan dua pengilang gula terbesar negara iaitu Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM).
"Setakat perbincangan yang diadakan bersama pegawai tertinggi KPDN semalam dan dua pengilang gula terbesar negara, mereka (pengilang) memberi jaminan bekalan gula negara mencukupi di sebalik kenaikan harga gula dunia serta gas asli.
"Malah harga gula untuk rakyat juga terus akan kekal. Mekanisme bagaimana untuk kerajaan kekalkan harga gula akan dibincang dan diputuskan kabinet.
"Oleh itu, KPDN ingin menafikan penularan poster harga gula baharu kononnya RM4.60, baru-baru ini sebagai palsu," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pulai di Taman Uda Utama, Tampoi di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Sebelum ini, media melaporkan isu kekurangan bekalan gula yang berlaku di Pantai Timur dan Kedah menyebabkan rakyat resah berikutan bimbang harga bahan mentah itu bakal dinaikkan.
Bagaimanapun, Salahuddin dilaporkan berkata, bekalan gula di Pantai Timur telah pulih dan dikenal pasti berpunca daripada penutupan sementara kilang gula MSM Malaysia Holdings Bhd di Johor dan Perai, Pulau Pinang.
Tambah Salahuddin, jika pengilang ingin keluarkan produk baharu terutama membabitkan gula, mereka perlu dapat kelulusan kabinet terlebih dahulu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, orang ramai boleh membuat laporan sama ada kepada KPDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penularan poster kenaikan harga gula.
Katanya, ini bagi membolehkan KPDN dan PDRM membuat siasatan terhadap dalang yang menyebarkan poster selain mengganggu ketenteraman awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!