PRN: Penyertaan Annuar, Noh bantu bangkitkan gelombang hijau

Rosli (kanan) dan Wan Razali menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Jamuan Aidilfitri di Dewan Serbaguna Inderapura, Kuantan pada Sabtu.
Rosli (kanan) dan Wan Razali menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Jamuan Aidilfitri di Dewan Serbaguna Inderapura, Kuantan pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Penyertaan tokoh-tokoh ternama yang juga bekas pemimpin UMNO dalam Perikatan Nasional (PN) mampu memberi kemenangan kepada parti gabungan itu pada pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, tokoh-tokoh ternama itu mempunyai pengaruh besar, sekali gus memberi satu kelebihan dalam memastikan PN dapat mentadbir di peringkat negeri.

"Insya-ALLAH, kita lihat ini menjadi satu gelombang yang akan membantu kemenangan PN di enam negeri kerana kepimpinan UMNO seperti Annuar Musa (bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN)), Noh Omar (bekas Pengerusi UMNO Selangor) antara pemimpin yang mempunyai pengaruh besar.

"Bagaimana kita melihat Shahidan Kassim (Ahli Parlimen Arau) apabila menyertai PN (Pas) berlaku perubahan di Perlis.

"Jadi, kita yakin perubahan itu berlaku di negeri lain," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Majlis Jamuan Aidilfitri di Dewan Serbaguna Inderapura di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor dan lebih 1,000 penduduk di sekitar daerah ini turut memeriahkan majlis.

Pada Khamis, Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan menghantar permohonan menjadi ahli Pas.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas beliau meneliti senario politik negara dan juga keadaan dalam UMNO itu sendiri.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, penyertaan tokoh-tokoh ternama daripada UMNO itu menunjukkan gabungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP adalah gabungan yang tidak dipersetujui sebahagian besar parti Melayu terbesar itu.

Jelasnya, perkara tersebut bukan sahaja di peringkat kepimpinan, tetapi juga peringkat akar umbi parti itu.

"Kita dapat melihat berlakunya kemasukan (pemimpin dan ahli) UMNO ke dalam Pas. Penyertaan itu termasuk di peringkat akar umbi kerana tidak ada persetujuan gabungan yang dibentuk (pembentukan kerajaan perpaduan)," katanya.

Sementara itu, Wan Razali menyatakan secara terbuka menerima mana-mana pihak untuk menyertai PN dan yakin gelombang perubahan rakyat sudah dapat dilihat ketika ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!