SGCF 2023 tawar 120 ruang niaga PKS

Norazidin
Norazidin
A
A
A

SHAH ALAM - Eighteen June Pictures menawarkan platform kepada pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berniaga dan menambah pendapatan melalui penganjuran Soul & Grunge Chooper Fest 2023 (SGCF 2023) yang dijadualkan berlangsung pada 10 dan 11 Jun nanti.

Acara yang berlangsung dua hari itu juga turut mendapat kerjasama Bakti Kasih dan perasmian dijangka disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.

Menurut pengarah programnya, Norazidin Sharifuddin, sebanyak 120 ruang niaga ditawarkan kepada usahawan PKS, pusat tahfiz dan ibu tunggal dalam acara komuniti motosikal berkuasa tinggi dan klasik yang pertama kali diadakan di Selangor itu.

“Program yang menghimpunkan komuniti motosikal berkuasa tinggi dan motosikal klasik ini merupakan platform yang efektif serta berkesan untuk mempromosikan produk-produk dan perkhidmatan usahawan PKS.

“Ini kerana, ia bukan sahaja dikunjungi oleh penggemar motosikal berkuasa tinggi dan klasik dari seluruh negara, malah bakal dikunjungi masyarakat berbilang kaum tanpa mengira usia dan tahap pendapatan dari sekitar Shah Alam dan Selangor.

“Sebagai tanda sokongan juga, komuniti motosikal berkuasa tinggi dan klasik termasuk Harley Davidson, Royal Enfield, Triumph dan Vespa dari seluruh negara akan berkumpul bersama memeriahkan program ini selain membantu usahawan-usahawan setempat menjana pendapatan menerusi program ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, usahawan selebriti yang juga Pengerusi Bakti Kasih Malaysia, Mohd Azwan Md Nor atau lebih dikenali Wak Doyok berkata, penganjuran acara sedemikian sewajarnya mendapat sokongan semua pihak.

Malah, beliau secara peribadi turut teruja untuk menyertai aktiviti sifat komuniti itu, selain dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Menerusi program ini, kami dapat membuka peluang kepada golongan asnaf yang ingin berniaga bagi menyara kehidupan. Setakat ini juga kami telah pun

mengenal pasti beberapa peniaga untuk diberikan ruang niaga percuma tanpa apa-apa bayaran.

“Diharapkan peluang ini dapat membantu mereka menambah pendapatan,” katanya.

Selain aktiviti jualan, pelbagai aktiviti lain turut disediakan antaranya pertandingan motosikal cantik dan ubahsuai yang dibahagikan kepada enam kategori dengan menawarkan hadiah berjumlah RM30,000.

Acara itu juga bakal dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air, antaranya Hazama, Mus May dan persembahan istimewa kumpulan Subculture yang menampilkan anggota asal selepas 30 tahun tidak beraksi secara langsung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!