'Kerjasama PH, BN baik walau ada belum dapat sesuaikan diri'
TANJUNG MALIM - Kerjasama yang ditunjukkan antara parti-parti kerajaan ketika ini amat baik menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang berkata, biarpun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pertama kali bergabung, ia tidak pun menjejaskan perancangan dan gerak kerja bagi PRN yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Menurutnya, penyelarasan bersama akan dibuat bagi menyusun jentera yang akan digerakkan ke negeri-negeri terlibat dengan PRN itu.
"Usaha penyelarasan ini telah pun dilakukan sebelum PRN. Sebaik sahaja kita jadi Kerajaan Perpaduan, kita sudah ada pun banyak usaha termasuk di peringkat negeri Perak, kita ada wujudkan satu jawatankuasa bersama antara BN dan PH.
"Beberapa kali mesyuarat diadakan dan saya yakin dengan perkembangan sekarang anggota kita memang bekerjasama dengan baik.
"Walaupun mungkin belum ada yang sesuaikan diri tetapi kita semua faham betapa pentingnya kedua-dua gabungan ini bekerjasama di dalam pilihan raya," katanya kepada pemberita ketika Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tanjung Malim di Dewan Rajawali, Felda Residence Trolak, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, mengenai bantuan dari jentera PKR negeri, Lih Kang yang juga Pengerusi PKR Perak memaklumkan perkara itu belum ditetapkan negeri mana yang akan dibantu.
Menurutnya, bagaimana Majlis Pimpinan PKR Perak sudah bersedia pada bila-bila masa untuk mengerahkan jentera ke mana-mana negeri yang terlibat dengan PRN.
Katanya, pembahagian tugas juga akan diselaraskan bersama parti-parti di dalam PH dan BN.
Media sebelum ini melaporkan enam negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tahun ini bagi memberi laluan kepada PRN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!