Ribut: Dinding tercabut, rak baju terbang dari tingkat 12

Kontraktor DBKL membaiki dinding tercabut di rumah Nazri.
Kontraktor DBKL membaiki dinding tercabut di rumah Nazri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angin kuat menyebabkan dinding bilik tercabut dan menerbangkan beberapa barangan lain termasuk rak serta beg pakaian dari tingkat 12, Perumahan Awam (PA) Loke Yew pada Jumaat.

Menceritakan kejadian, mangsa, Nazri Nasir, 55, berkata, dia bersama isteri berada di rumah ketika kejadian yang berlaku sekitar jam 7 malam.

"Ketika itu saya sedang bersiap sedia menunggu masuk maghrib. Apabila hujan, isteri keluar untuk mengangkat baju dan ketika itu angin kuat mula datang dan menghentam dinding.

"Sebelum tercabut, saya ada nampak dinding itu mula renggang dan apabila saya toleh sekali lagi, saya lihat dinding tersebut sudah terbang," kongsinya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkannya tergamam dan tidak dapat berbuat apa-apa.

"Saya hanya mampu lihat air mencurah-curah masuk ke rumah. Setelah 10 minit, keadaan mulai reda dan barulah saya minta bantuan daripada anak-anak jiran.

"Setakat ini, DBKL telah datang untuk baiki dinding tercabut dengan memasang dinding batu dan kerja sedang berjalan," katanya yang telah tinggal di PA Loke Yew lebih 20 tahun.

Keadaan dinding tercabut di rumah Nazri di tingkat 12 susulan ribut pada Jumaat.
Keadaan dinding tercabut di rumah Nazri di tingkat 12 susulan ribut pada Jumaat.

Bercerita lanjut katanya, kejadian dinding tercabut pernah berlaku sekitar 2014 membabitkan rumah jiran yang tinggal di tingkat atas unitnya.

"Lepas kejadian tersebut memang penduduk lebih peka tiap kali hujan lebat dan angin kuat. Tak sangka kali ini giliran saya pula.

"Jiran-jiran pun jadi takut lepas kejadian ini. Memandangkan bangunan sudah uzur, saya harap DBKL dapat bantu baiki apa yang perlu terutama struktur dinding yang digantikan," katanya.

Pada malam Jumaat, Kuala Lumpur dilanda hujan lebat berserta ribut dengan beberapa insiden pokok tumbang dilaporkan di ibu kota.

Antara lokasi terlibat pokok tumbang termasuk di Jalan Kampung Attap, Jalan Sultan Ismail, Blok 19 Taman Bukit Angkasa, Pejabat Kesihatan Kepong, Jalan Ayer Jernih dan Flat Danau Kota.

Sementara itu, DBKL memaklumkan dinding sebuah unit di Loke Yew dan bumbung empat unit PA Seri Johor tercabut susulan kejadian itu.

Kerja pembaikan sementara telah dilakukan sebelum baik pulih penuh dilaksanakan dalam masa terdekat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!