MOSTI tumpu sekuriti makanan, perubahan iklim

Lih Kang (dua dari kanan) ketika hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tanjung Malim di Dewan Rajawali, Felda Residence Trolak pada Sabtu.
Lih Kang (dua dari kanan) ketika hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tanjung Malim di Dewan Rajawali, Felda Residence Trolak pada Sabtu.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang memberi keutamaan terhadap penyelesaian isu berkaitan sekuriti makanan dan perubahan iklim ketika ini.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, beberapa penyelidik dan pembangunan (R&D) sedang dilakukan oleh agensi di bawah kementerian untuk menghasilkan teknologi yang boleh membantu mengatasi masalah dihadapi sektor pertanian.

Jelas beliau, antaranya agensi terlibat sedang mengkaji penghasilan tanaman yang mempunyai daya tahan terhadap penyakit dan cuaca.

"Memang kami ada agensi-agensi yang sedang membuat penyelidikan dan juga R&D berkaitan perubahan iklim serta sekuriti makanan.

"Cuma sains dan teknologi ini memerlukan lebih masa sedikit, mungkin tak dapat keputusan dalam masa terdekat tetapi ini memang bidang yang kita tengah jalankan dan menelitinya," katanya kepada pemberita ketika Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tanjung Malim di Dewan Rajawali, Felda Residence Trolak pada Sabtu.

Lih Kang yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim berkata, dari segi perubahan iklim pula, kementeriannya sedang dalam usaha ke arah bagaimana untuk mengurangkan karbon.

Menurutnya, salah satu inisiatif ke arah itu dengan membawa masuk lebih banyak kenderaan elektrik serta penggunaan gas hidrogen sebagai salah satu tenaga alternatif.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya bersedia untuk memainkan peranan dengan kepakaran teknikal dalam membantu negara menjana Tenaga Boleh Baharu (TBB).

Jelasnya, MOSTI akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan untuk memastikan hasrat kerajaan itu dicapai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!