5G: Kerajaan pastikan penduduk luar bandar tidak terpinggir

Kerajaan akan terus memastikan penduduk di luar bandar tidak terpinggir daripada mendapat liputan telekomunikasi teknologi 5G. - Gambar hiasan
Kerajaan akan terus memastikan penduduk di luar bandar tidak terpinggir daripada mendapat liputan telekomunikasi teknologi 5G. - Gambar hiasan
A
A
A

TAMPIN - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan terus memastikan penduduk di luar bandar terutamanya kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), FELCRA Bhd dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), tidak terpinggir daripada mendapat liputan telekomunikasi teknologi 5G.

Beliau berkata, tanggungjawab berkenaan bukan sahaja hanya dipikul syarikat telekomunikasi semata-mata tetapi memerlukan kerjasama semua pihak.

"Saya lihat di sini ada menara.. sistem telekomunikasi bertukar dari 3G ke 4G ke 5G, jadi saya sebagai orang yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kawasan luar bandar dan desa, saya tidak mahu mereka terpinggir daripada mendapat liputan telekomunikasi.

"Saya tidak mahu anak-anak kita terpaksa memanjat pokok untuk dapatkan liputan. Saya tidak mahu peneroka terpaksa pergi berdekatan menara (telekomunikasi) untuk dapatkan liputan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata masyarakat luar bandar wajib diberikan kesamarataan dalam mendapat liputan 5G biarpun ketika ini pemasangan 5G mencapai 64 peratus di kawasan berpenduduk tinggi.

Ahmad Zahid berkata, selain itu kerajaan juga akan memastikan isu perumahan generasi kedua FELDA diatasi segera sekali gus membantu golongan berkenaan mendapatkan kediaman masing-masing.

"Isu perumahan generasi kedua Felda ini...di Felda Jelai 1,2,3 di sini (contohnya) saya tahu Menteri Besar (Aminuddin) membantu, tetapi keperluan mesti dibuat sekarang. Saya yakin masalah generasi kedua itu harus diatasi segera kerana mereka merupakan penyokong kita," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!