Maut kepala terhentak batu ketika buat aksi terjunan di lata
KOTA BHARU - Seorang bapa kepada empat cahaya mata maut apabila kepalanya dipercayai terhentak batu ketika membuat aksi terjunan dari ketinggian tiga meter di Lata Berangin, Kuala Krai pada Jumaat.
Keriangan Mohd Syazmer Mohd Rodi, 32, berkelah bersama keluarga sekitar jam 2.30 petang bertukar tragedi apabila mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kakak iparnya, Mazlinda Leo Azaman, 33, berkata, mangsa kelihatan sangat teruja malah berulang kali melakukan aksi terjun.
"Kami berada tidak jauh dari lokasi mandi manda dan tiba-tiba keadaan menjadi kelam-kabut.
"Dalam hati saya sudah rasa ada sesuatu yang buruk berlaku kerana sebelum itu Mohd Syazmer baharu lepas terjun," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Sokor, Kok Lanas dekat sini pada Sabtu.
Menurutnya, sebaik mendekati lokasi, seorang daripada pengunjung memberitahu ada orang cedera dan kelihatan darah di permukaan air.
Ujarnya, beberapa pengunjung membantu mencari adik iparnya yang masih tenggelam dan selepas 25 minit, mangsa ditemukan di celah batu di dasar lata berkenaan.
Mazlinda memberitahu, sebaik sahaja dinaikkan ke darat, mereka cuba memberi bantuan pernafasan kepada mangsa dan mendapati bahagian tengah kepalanya terbelah dipercayai terhentak batu.
"Adik ipar telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra dan doktor mengesahkan punca kematiannya disebabkan kecederaan yang dialami," ujarnya.
Sementara itu, isterinya, Shaidatul Hasmira Leo Azaman, 31, memberitahu suaminya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sokor pada jam 3 pagi Sabtu.
Dia memberitahu, bapa kepada empat anak berusia lima hingga 11 tahun itu dilihat begitu teruja selepas mereka mendiami rumah baharu Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak dua bulan lalu.
"Malah suami juga sering termenung sambil melihat rumah dan turut meminta saya merakamkan gambarnya sama ada ketika berada dalam atau luar rumah dengan alasan sekadar kenangan.
"Kini baharu saya faham maksudnya, ia memberi petanda suami akan pergi selamanya," ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Muamalat 03030017210721 atas nama Shaidatul Hasmira Leo Azaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!