Tiada kes strok haba libatkan nelayan - LKIM
YAN - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tidak mengesan sebarang kes serangan strok haba melibatkan golongan nelayan berikutan cuaca panas melanda negara setakat ini.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, tiada kes dikesan meskipun golongan nelayan kerap terdedah dengan cuaca panas.
Menurutnya, LKIM sentiasa mengambil berat aspek kebajikan nelayan yang perlu mencari rezeki di bawah terik matahari di tengah laut.
"Saya percaya golongan (nelayan) antara yang teruk terkesan kerana keadaan pekerjaan mereka di laut.
"Kita di LKIM memang ada menyediakan elaun sara hidup sebagai bantuan tetap bulanan bagi menampung kekurangan pekerjaan mereka (akibat cuaca panas),"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sesi Libat Urus Pengerusi LKIM bersama nelayan di Jeti Nelayan Kuala Sedaka, Yan pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah LKIM Kedah, Mohd Fauzi Ghazali.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan yang disediakan diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban nelayan yang tidak dapat turun ke laut ataupun mengalami penurunan hasil disebabkan cuaca panas.
"Buat masa ini, kita masih belum terima laporan mengenai nelayan yang mengalami masalah kesihatan ataupun terkesan dengan strok haba," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.
Bagaimanapun beliau memaklumkan cuaca panas sememangnya memberi kesan kepada aktiviti penangkapan hasil laut apabila nelayan terpaksa memendekkan masa berada di laut.
"Setakat ini, mereka masih boleh turun (ke laut), cuma masa itu singkat, jadi tempoh menangkap ikan itu jadi pendek, maka hasilnya juga agak kurang.
"Begitupun saya difahamkan bekalan ikan masih mencukupi untuk menampung keperluan rakyat Malaysia walaupun hasilnya sedikit terjejas akibat cuaca panas," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan semua nelayan supaya berdaftar dengan persatuan nelayan bagi membolehkan mereka mendapat manfaat sewajarnya.
"Kita ada ramai nelayan di luar sana tetapi masih ramai yang tidak mendaftarkan dan ini menjadi keutamaan saya dalam mencari solusi kepada perkara ini.
"Isu nelayan tidak berdaftar ini perlu diberi perhatian untuk memastikan kelangsungan industri perikanan negara dan individu yang turun ke laut termasuk golongan awak-awak layak untuk mendaftar dengan persatuan atau LKIM," ujarnya.
Muhammad Faiz berkata, sehingga kini, kira-kira 100,000 nelayan berdaftar di seluruh negara dan kempen untuk merancakkan pendaftaran golongan itu akan terus dipertingkatkan.
"Walaupun saya tiada rekod tepat jumlah nelayan tidak berdaftar tetapi ia bukanlah satu jumlah yang kecil.
"Saya percaya jumlah itu adalah signifikan untuk saya lihat perkara ini dengan serius," katanya.
Sebelum itu, Muhammad Faiz turut mengadakan sesi dialog santai dan penyampaian 'touch point' kepada nelayan serta lawatan ke jeti serta kawasan berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!