PRN: BN, PH akan terus dapat sokongan pengundi - Ahmad Zahid
TAMPIN - Kerajaan Perpaduan akan terus mendapat sokongan pengundi di Negeri Sembilan meskipun Perikatan Nasional (PN) mendakwa akan berlaku "tsunami” orang Melayu di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, dalam sistem demokrasi di negara ini, semua pihak boleh mengeluarkan pandangan namun pilihan raya umum lepas memperlihatkan keputusan sebaliknya apabila berlaku penyatuan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas itu.
"Kita amat yakin bahawa rakyat perlukan kestabilan dan Negeri Sembilan ini keutamaannya adalah daripada segi pembangunan ekonomi dan rakyat juga perlukan pekerjaan. Rakyat Negeri Sembilan akan lebih bijaksana untuk memilih kerajaan yang dapat membantu mereka.
"Kita tak perlu layan propaganda begitu, kita kembalikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan di manakah pilihan terbaik setakat ini dengan keberadaan kita seramai 148 ahli Parlimen, ia menunjukkan majoriti dua pertiga.
"Mereka (pembangkang) terpaksa menukar taktik bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi juga ke Pulau Pinang dan Selangor, pemimpin mereka di Selangor juga bercakap (perkara sama), biarlah luncai terjun dengan labu-labunya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang dilaporkan berkata, yakin mampu meraih sokongan sekurang-kurangnya 70 peratus undi, terutama undi Melayu berikutan PN berada di hadapan dari segi populariti dan kepemimpinan.
Sementara itu beliau yang juga Pengerusi BN berkata, BN akan menggunakan formula dengan menampilkan lebih ramai muka baharu dan calon muda dalam PRN nanti bagi meremajakan parti selain memberi peluang kepada calon muda.
"Ia sudah terbukti di PRN Melaka, saya meletakkan 82 peratus muka-muka baharu yang 67 peratus adalah orang-orang muda, begitu juga di Johor, ia berada di tahap 74 peratus dan Johor diketuai oleh orang muda, trend ini menjadi harapan kepada rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka daripada parti itu akan menyertai Pas, Ahmad Zahid berkata beliau akan bertemu ADUN berkenaan dalam masa terdekat. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!