Kadar pengangguran negara turun kepada 3.5 peratus
SHAH ALAM - Kadar pengangguran negara terus berkurang kepada 3.5 peratus atau 588,700 orang bagi suku tahun pertama 2023 berbanding 3.6 peratus atau 599,600 orang pada suku tahun keempat 2022.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, kadar pengangguran antara negeri juga menurun, selari dengan penurunan kadar pengangguran nasional.
Menurutnya, bagi suku pertama tahun ini, Putrajaya mencatatkan kadar pengangguran terendah iaitu sebanyak 0.8 peratus, diikuti Perlis (2.1 peratus), Pulau Pinang (2.3 peratus) dan Negeri Sembilan (2.5 peratus).
"Ekonomi negara kekal kukuh dan stabil pada suku pertama 2023 dengan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sebanyak 5.6 peratus.
"Kejayaan ini adalah atas kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian dan agensi-agensi kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelas Sivakumar, antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) adalah menerusi Perkeso, Talentcorp, HRDC dan Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Usaha-usaha yang dilaksanakan oleh KSM bersama agensi-agensi adalah menyediakan Portal pekerjaan MyFutureJobs untuk membantu pencari kerja mendapat peluang pekerjaan.
Katanya, portal www.myfuturejobs.gov.my merupakan sebuah platform secara maya dan terkini bagi membuat padanan pekerjaan berdasarkan kelayakan, kemahiran dan kompetensi, pengalaman, gaji dan lain-lain mengikut keperluan majikan.
"Seramai 793,086 orang pencari kerja berjaya ditempatkan ke alam pekerjaan sehingga April 2023.
"Dalam merancakkan penawaran pekerjaan majikan kepada pencari kerja, Perkeso melaksanakan program-program temuduga di semua Pejabat Perkeso Negeri secara harian dan mingguan serta melaksanakan Karnival Pekerjaan yang berskala besar.
"Bagi tahun 2023, sebanyak 4,130 program disasarkan dan setakat April 2023, sebanyak 1,127 program dilaksanakan dengan jumlah seramai 5,121 orang pencari kerja berjaya mengisi kekosongan pekerjaan," ujar beliau.
Tambahnya, kerajaan juga telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta yang meliputi bidang-bidang latihan demi mengatasi masalah ketidakpadanan kemahiran dan isu pengangguran di kalangan pelajar TVET.
Seterusnya, melalui TalentCorp, KSM juga berjaya melaksanakan program-program iaitu Program Young Employable Students (YES!). Seramai 2,407 peserta berjaya mengikuti program sehingga April 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!