Teong Kim mahu pemain cepat sesuaikan diri
PEMAIN Perak FC digesa segera menyesuaikan diri dengan cara permainan dalam Liga Super bagi memastikan mereka boleh terus bersaing dengan pasukan lain.
Ketua Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim berkata, anak buahnya masih tercari-cari rentak selepas kembali dalam saingan Liga Super musim ini.
Jelasnya, kebanyakan pemain masih baharu dalam pasukan dan terbawa-bawa gaya permainan ketika di Liga Premier musim lalu.
"Bukan mereka tidak bagus, (cuma) mereka perlu masa untuk bermain dalam liga ini. Mereka baru empat bulan, lima bulan bersama pasukan ini. Kami adalah pemain yang bermain di Liga Premier dahulu. Mereka perlu masa untuk menyesuaikan diri di Liga Super dan saya harap mereka pantas menyesuaikan diri.
"Bermain di Liga Super satu pengalaman yang baik untuk mereka belajar bahawa dalam Liga Super ini tempo berlainan, intensiti berlainan, semua berlainan kerana bermain dengan pemain import yang berkualiti. Walaupun kita kalah, kita boleh belajar daripada perlawanan ini. Ini semua proses di mana mereka perlu masa," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super di antara Perak FC dengan Selangor FC di Stadium Perak di sini pada malam Sabtu.
Pada perlawanan berkenaan menyaksikan Perak FC dibelasah lawan dengan keputusan 4-0.
Teong Kim bagaimanapun tetap optimis anak buahnya akan terus memberi saingan walaupun berdepan pasukan berpengalaman.
Katanya, kualiti permainan yang ditunjukkan pemain Perak FC semakin baik namun pengalaman menjadi penghalang untuk mereka beraksi cemerlang.
Jelasnya, kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan menyebabkan pasukan lain mengambil kesempatan menghukum dengan jaringan.
Perak FC kini berada di tangga ke-11 liga dengan dua kemenangan, tiga seri dan enam kekalahan manakala Selangor FC berada di kedudukan kedua liga berkongsi 25 mata dengan Sri Pahang FC.
ARTIKEL BERKAITAN:Royal Rumble penyokong cemari aksi Perak, Selangor di Ipoh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!