'Hari yang menyedihkan buat Arsenal'

Mikel Arteta - Foto EPA
Mikel Arteta - Foto EPA
A
A
A

MANCHESTER City berada dalam kelas tersendiri apabila merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali kelima dalam enam musim selepas pesaing terdekat, Arsenal kalah 0-1 kepada Nottingham Forest.

Peluang The Gunners untuk mengejar City sudah tertutup selepas kekalahan kedua berturut-turut meletakkan anak buah Mikel Arteta empat mata di belakang pendahulu dengan saingan liga berbaki satu aksi.

"Tahniah buat City kerana muncul juara. Ia hari yang menyedihkan buat kami.

"Kami perlu sedar, kami dibolosi dan gagal menembusi benteng lawan. Kami boleh main untuk tiga jam, tetapi masih gagal untuk melakukannya," ujar Arteta.

Jaringan Taiwo Awoniyi di babak pertama turut memastikan Forest berjaya mengelak penyingkiran pada musim pertama kembali ke EPL selepas 23 tahun.

City yang dibimbing Pep Guardiola boleh memberikan fokus untuk melengkapkan treble apabila berdepan Manchester United dan gergasi Itali, Inter Milan pada final Piala FA serta Liga Juara-Juara Eropah bulan depan.

Dalam pada itu pengendali Forest, Steve Cooper berkata:

"Kami mengehadkan pergerakan mereka, keazaman kuat untuk menang dan berjaya melakukannya."

United dan Newcastle semakin hampir untuk mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan selepas Liverpool seri 1-1 menentang Aston Villa.

Kedua-dua pasukan yang menghuni tangga keempat dan ketiga liga ketika ini tiga mata di depan Liverpool yang berbaki satu perlawanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!