United sebelah kaki ke Liga Juara-Juara
ERIK ten Haq boleh mula tersenyum apabila Manchester United berada di ambang Liga Juara-Juara setelah menewaskan Bournemouth 1-0 di tempat lawan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Justeru kata ten Haq, masa depan Red Devils terletak di tangan mereka sendiri dan segala-galanya berada dalam genggaman.
“Segala-galanya dalam tangan kami," ujar ten Hag.
Gol berharga Casemiro pada separuh masa pertama menjadi penentu United yang hanya memerlukan satu mata daripada dua baki perlawanan EPL musim ini – kedua-duanya di Old Trafford – menentang Chelsea dan Fulham minggu depan untuk memastikan tempat di dalam saingan elit pentas Eropah.
Juara Eropah tiga kali itu akan menempah tempat mereka lebih awal sekiranya kemenangan mereka disertai dengan kekalahan Liverpool.
Bagaimanapun musuh ketat United itu bangkit dari ketinggalan untuk memastikan keputusan seri 1-1 di tempat sendiri menentang Aston Villa.
“Ia (keputusan Liverpool) tidak penting, saya memberitahu anda sudah berminggu-minggu ini bukan mengenai lawan kami.
“Kami mendahului, ia terpulang kepada kami, kami ada segala-galanya di tangan kami, kami tidak perlu melihat ke belakang. Kami perlu mempamerkan persembahan kami,” ujar ten Hag.
Layak ke Liga Juara-Juara bermakna Ten Hag menepati sasaran utama pada musim pertamanya mengendalikan United yang sudah meraih Piala Liga menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang pesaing tempatan Manchester City bulan depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!