Kapal korek Sri Banting rancak industri pelancongan Selangor

Kapal korek Sri Banting di Banting ini dijangka akan merancakkan lagi industri pelancongan Selangor. (Gambar kecil: Hee Loy Sian)
Kapal korek Sri Banting di Banting ini dijangka akan merancakkan lagi industri pelancongan Selangor. (Gambar kecil: Hee Loy Sian)
A
A
A

SHAH ALAM - Projek pembangunan kapal korek terbesar di dunia iaitu kapal korek Sri Banting di Dengkil antara usaha kerajaan negeri bagi merancakkan lagi industri pelancongan Selangor.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, lokasi kapal korek juga sangat strategik kerana ia berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Menurutnya, majlis tempatan juga telah mengeluarkan tender untuk pemulihan dan pemuliharaan kapal korek bijih timah itu supaya ia dapat diubah menjadi sebagai muzium perlombongan.

“Kita juga berhasrat untuk mendirikan lebih banyak pusat-pusat pelancongan terutama di sekitar pesisir pantai seperti di Tanjung Karang dan Kuala Selangor.

“Dalam pada itu, kerajaan juga sudah meluluskan (dasar) untuk membangunkan kapal korek terbesar bukan sahaja di Malaysia malah terbesar di dunia,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mac lalu, media melaporkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan membelanjakan lebih RM10 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk memulihkan Kapal Korek Sri Banting untuk digunakan sebagai produk pelancongan.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd Hamid Hussain dilaporkan berkata, apabila siap, projek berkenaan dijangka mampu untuk menjana pendapatan sehingga RM35 juta setahun.

Malah pihak berkuasa tempatan itu turut memohon pengiktirafan Tapak Warisan Dunia Unesco, memandangkan tarikan dalam senarai itu dikunjungi ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Korek Sri Banting adalah satu daripada dua kapal korek timah yang masih ada di dunia. Satu lagi di Tanjung Tualang, Perak, tetapi lebih kecil (4,500 tan) dan menggunakan bahan api diesel,” kata Abd Hamid.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!