'DAP loni tok supo mulo' - UMNO Kelantan

Zawawi
Zawawi
A
A
A

PASIR PUTEH - "Parti DAP loni tok supo mulo (DAP sekarang ini tidak sama dengan dahulu)," demikian reaksi Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman.

Beliau berkata, sejak UMNO membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan, DAP dilihat sudah tidak ekstrem sebagaimana semasa mereka bersama Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Kalau nak kata UMNO sokong DAP...Pas lagi teruk, masa muktamar mereka benarkan pemimpin DAP berucap menggunakan ayat al-Quran. Pemuda Pas angkat bendera DAP....tapi Pemuda UMNO tidak pernah lagi angkat bendera DAP.

"Kena bandingkan...Watak mereka (DAP) jauh sekali berbeza ketika ini. Tiada lagi sentimen yang boleh menggugat kestabilan negara dibangkitkan seperti isu kalimah ALLAH, ketuanan Melayu, Raja-Raja Melayu dan sebagainya," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pengundi UMNO dijangka sukar untuk memberikan undi kepada calon DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Menurut Zawawi, UMNO tidak sekali akan berkompromi jika isu melibatkan Islam, ketuanan Melayu dan Raja-Raja Melayu disentuh.

Ujarnya, perkara itu sudah digariskan semasa memeterai perjanjian dengan PH sebelum ini.

Mengulas mengenai sokongan pada PRN Kelantan, beliau memberitahu situasi itu berbeza di negeri ini.

"Di Kelantan, DAP perlu memberikan sokongan kepada calon UMNO pada PRN nanti.

"Tindakan itu perlu sebagai tanda mendukung Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat yang sedang mentadbir negara ketika ini," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui sukar untuk mengubah 'pegangan' penyokong untuk menerima kehadiran parti DAP sebagai rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan hari ini, namun tidak mustahil dilakukan.

Beliau berkata, hal ini kerana perspektif negatif itu telah diterapkan sejak 22 tahun lalu oleh kepimpinan terdahulu semasa memerintah negara.

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN: Ahmad ajak pengundi UMNO pangkah calon DAP

Janggal, luar biasa UMNO minta sokong DAP - Muhyiddin

PRN: Ahli, penyokong DAP digesa beri undi kepada calon UMNO

'Muhyiddin pernah ajak rakyat sokong DAP' - Sheikh Umar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!