Penternak hilang sabar, sindiket curi lembu menjadi-jadi
BATU GAJAH - Sekumpulan penternak di sini dihantui kebimbangan dengan kegiatan sindiket mencuri lembu dan kerbau yang dikatakan semakin menjadi-jadi.
Kegiatan berlarutan sejak tiga tahun lalu itu mengakibatkan penternak kerugian hingga ratusan ribu ringgit.
R Kaviyarasan, 38, yang menjalankan ternakan sejak 20 tahun lalu di Tanjung Tualang berkata, dalam tempoh tiga tahun ini kerugian dialami mencecah RM400,000 apabila lebih 100 ekor lembu dan kerbau belaannya hilang akibat dicuri.
Menurutnya, kes kecurian kebanyakannya disedari berlaku ketika ternakan dilepas bebas untuk makan.
"Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja ternakan yang hilang, bila dicari-cari tak jumpa, hilang begitu sahaja, tentulah dicuri.
"Macam mana mereka curi pun saya tidak tahu, tetapi saya syak ini dilakukan sindiket besar kerana kegiatan mereka sukar dikesan," katanya ketika ditemui pemberita dalam satu sidang media di Dewan Tun Sambanthan Kinta Valley, di sini pada Ahad.
R Gunasagaran, 54, pula kecewa apabila semua 23 ekor lembu miliknya yang berada dalam kandang lesap dalam kejadian Januari lepas.
Katanya, kesemua lembu berkenaan dibeli setahun lalu dengan modal RM150,000 termasuk penyediaan kandang untuk tujuan perniagaan, namun hilang dipercayai dicuri sindiket.
"Saya syak mereka dah target lama nak curi lembu-lembu saya ini kerana cukup saja satu tahun bila lembu ini dah besar, mereka sapu bersih semua sekali.
"Ini bukan biasa-biasa, tentulah yang mencuri ini sudah ada pengalaman, sampai sekarang walaupun laporan polis dibuat, kegiatan mereka gagal dikesan," katanya.
Seorang lagi penternak, Nazri Zakaria, 38, berkata, ada kalangan pencuri lembu ini menggunakan tembakan ubat pelali dan mengikat ternakan di pokok sebelum dibawa menggunakan lori.
"Selalunya bila kita balik rondaan, masa itulah mereka ikat dan bawa naik lori.
"Jika kebetulan ada orang kampung nampak, mereka akan beritahu, tetapi mana yang tidak nampak, habislah kena angkut," katanya.
Menurutnya, beberapa tangkapan telah dilakukan pihak berkuasa sebelum ini, tetapi kebanyakannya terlepas kerana kurang bukti.
Bagi Pang Kee Kheong, 70, yang sudah kehilangan hampir 50 ekor lembu, kegiatan curi itu memang sukar dibendung sejak dahulu lagi.
"Saya dah bela (lembu) sejak 40 tahun lepas, kes curi dah kerap sangat berlaku sampai kami pun hilang sabar. Tak tahu mahu buat macam mana lagi," katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, aduan berkaitan kehilangan haiwan ternakan terutama lembu dan kerbau diterima hampir setiap hari.
Katanya, kebanyakan kes berlaku membabitkan haiwan yang dilepas berkeliaran tanpa sebarang pemantauan pengusaha.
"Sekiranya penternak dapat tingkatkan kawalan seperti upah penggembala atau kerapkan rondaan, mungkin kes kecurian dapat dikurangkan.
"Dalam masa sama, kita juga berharap pihak berkuasa jalankan siasatan terhadap laporan-laporan yang dibuat supaya mereka yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!