Jumpa Anwar sekadar sambung persahabatan arwah bapa - Nik Abduh

Nik Abduh
Nik Abduh
A
A
A

SHAH ALAM- Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menjelaskan yang pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini tidak mempunyai sebarang kaitan terhadap pendirian politiknya.

Ujar beliau, perjumpaan itu sebaliknya hanya sekadar menyambung persahabatan antara arwah bapanya dengan Anwar yang telah terjalin sejak sekian lama.

“Menyambung persahabatan dengan kawan-kawan ayah kita adalah sunnah Rasulullah SAW termasuklah dengan keluarga dan rakan-rakan mereka.

“Kemudian, kebaikan hendaklah dihargai, kemudian biarkannya bersambungan. Tidak putus-putus. Itu pun sunnah baginda,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Nik Mohamad Abduh mengulas, meskipun terdapat perbezaan besar dari segi fahaman politik antara dua figura berkenaan, namun persamaan yang dimiliki itu tidak memanjangkan perselisihan berkenaan.

“Begitulah saya. Perbezaan kekal. Persamaan mendekatkan. Jalan saya adalah jalan ayahanda saya. Islam adalah penyelesaian. Itulah universiti politik Kelantan.

“Ada pun desas desus itu dan ini, itu debu. Jaga mata anda. Tak sakit pun, kabur jadinya,” jelas beliau.

Sebelum ini, pertemuan antara Nik Mohamad Abduh dengan Anwar menimbulkan tanda tanya daripada pelbagai pihak.

Pertemuan itu yang dikatakan diadakan di Hotel Perdana turut dihadiri abangnya iaitu Nik Omar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!