'Bimbang kempen undi DAP disalah tafsir' - Jalaluddin
SEREMBAN - UMNO tidak perlu berkempen dengan cara meminta pengundi menyokong mana-mana parti di dalam Kerajaan Perpaduan termasuk DAP.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ini kerana kaedah kempen sebegitu dibimbangi boleh disalah tafsir dan menimbulkan persepsi negatif terutama dalam kalangan pengundi UMNO.
"Bagi saya kita tak perlu mengarah atau menyuruh mana-mana ahli parti atau pengundi untuk beri undi atau pun menyokong mana-mana parti yang bertanding dalam Kerajaan Perpaduan.
"Ini kerana pengundi sudah mempunyai keputusan mereka sendiri dan saya harap semua pihak lebih berhati-hati dan tidak menyentuh apa-apa perkara yang boleh disalah tafsir," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Jelebu itu berkata, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, UMNO sepatutnya berusaha meyakinkan rakyat yang kerajaan hari ini adalah yang terbaik.
Ujarnya, misi dan agenda manifesto yang akan ditawarkan kepada rakyat adalah paling penting supaya mereka yakin dengan kerjasama yang dibentuk antara BN dan PH.
"Kita kena tunjukkan yang kerjasama antara BN dan PH ini dapat beri manfaat yang lebih berlipat ganda berbanding kerajaan sebelum ini.
"Tapi jika ada yang rasa kaedah kempen meminta sokong parti itu terbaik, terpulanglah. Tapi bagi saya di Negeri Sembilan dalam tempoh dua bulan ini adalah tempoh untuk yakinkan rakyat," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pengundi UMNO perlu memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan pada PRN tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.
Menurut beliau, gesaan tersebut bukan atas nama parti tertentu sebaliknya atas nama Kerajaan Perpaduan serta titah Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga kestabilan politik negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!