Bekalan air di 99 kawasan dijangka pulih malam Rabu
SHAH ALAM - Bekalan air di 99 kawasan terjejas di Wilayah Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam pada Rabu.
Ini susulan pelaksanaan kerja-kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cerakah, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Air Selangor dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan kerja-kerja yang bermula jam 9 pagi pada Isnin itu bakal menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di tiga wilayah berkenaan.
"Kerja-kerja pembaikan ini dijangka akan siap jam 3 pagi pada Selasa dan bekalan air akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat.
"Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9 malam pada Rabu, apabila kerja pembaikan siap dan sistem agihan utama bekalan air distabilkan," katanya.
Dalam pada itu, Air Selangor menasihati para pelanggannya untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air.
"Kerja-kerja pembaikan kecemasan ini melibatkan paip saluran utama berukuran 2,200 milimeter diameter dan melibatkan kawasan agihan berskala besar.
"Oleh yang demikian, tempoh pembaikan dan pemulihan mengambil masa yang agak lama," ujarnya.
Air Selangor berkata, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
"Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian," tambahnya.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!