37 penunggang motosikal buat bising ditahan polis
KUALA SELANGOR - Polis menahan 37 individu termasuk remaja bawah umur yang menunggang motosikal dengan ekzos diubahsuai sehingga mengeluarkan bunyi bising ditahan di sekitar Pekan Tanjong Karang di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, semua individu berusia 15 hingga 27 tahun itu ditahan bersama 31 motosikal dalam Op Bersepadu Mat Rempit pada jam 11 malam.
Menurutnya, operasi selama enam jam itu dijalankan sepasukan anggota termasuk pegawai dari Balai Polis Tanjong Karang dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Selangor (BSPT).
"Operasi dilakukan selepas polis menerima aduan bunyi bising pada waktu malam yang menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk setempat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, Ramli berkata, pemeriksaan mendapati kesemua individu terbabit melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, menunggang di bawah usia 16 tahun dan mengubah suai ekzos.
"Kesalahan itu turut melibatkan nombor pendaftaran, aksesori tidak lengkap dan tiada cukai jalan (LKM) serta perlindungan insurans," ujarnya
Beliau menegaskan, sebanyak 110 saman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Sehubungan itu, katanya, semua pengguna dinasihatkan mematuhi peraturan jalan raya dan menghormati masyarakat setempat.
"Ibu bapa atau penjaga turut diminta memantau pergerakan anak-anak mereka supaya tidak terlibat aktiviti motosikal yang menyalahi undang-undang dan jenayah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!