RM4.5 juta sebulan tampung belanja 9,034 warga emas

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PASIR PUTEH - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta, bagi menampung keperluan perbelanjaan 9,034 warga emas berusia 60 tahun ke atas di seluruh negeri ini setiap bulan.

Pengarah JKM Negeri, Said Sidup berkata, jabatannya juga turut membelanjakan lebih RM1.3 juta sebulan, bagi membantu pesakit terlantar menerusi pemberian bantuan RM500 sebulan melalui penjaga masing-masing.

"Senarai penerima dikemas kini setiap tahun, selain lawatan dan pemantauan dilaksanakan bagi memastikan kebajikan mereka terbela.

"Selain itu, JKM juga memberi kursus dan latihan mengurus pesakit terlantar kepada 274 sukarelawan JKM, penjaga pesakit dan warisnya dengan kerjasama St John Ambulans dan agensi kesihatan yang berkaitan,” katanya selepas merasmikan penutup Kursus Komuniti Home Nursing Care St. John Ambulans di Pusat Latihan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di sini hari ini.

Said berkata, jumlah 274 sukarelawan itu termasuklah bagi merawat lebih 3,000 pesakit terlantar di rumah masing-masing.

"Sebilangan besar penjaga pesakit itu, tidak mempunyai kepakaran untuk merawat termasuk bagi kes akibat serangan strok dan kemalangan jalan raya.

"Pendedahan ini melibatkan kaedah pemberian ubat dan mengamalkan senaman mengikut kaedah yang betul, supaya mereka cepat sembuh,” katanya.

Said berkata, usaha itu sudah bermula sejak 2019, tetapi tertangguh seketika akibat ancaman COVID-19 dan kini disambung semula.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, bagi menjayakan kursus berkenaan yang membabitkan 10 jajahan di Kelantan.

Beliau berkata, sehingga ini, tujuh Jajahan sudah pun diberi pendedahan mengenainya kecuali Gua Musang, Tanah Merah dan Jeli, yang akan dilakukan dalam tempoh terdekat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!