Zahid gesa Penerangan UMNO gerak strategi ikut arus semasa

Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Penutupan Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia. - Foto Facebook Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Penutupan Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia. - Foto Facebook Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan Penerangan UMNO Malaysia perlu bergerak sebagai satu entiti bagi memastikan maklumat sampai kepada golongan disasarkan.

Menurutnya, ini adalah pendekatan baharu yang wajar UMNO hadapi dalam dunia media baharu hari ini.

"UMNO perlu bermuhasabah dan melaksanakan penambahbaikan dalam memastikan fungsi serta peranan Penerangan parti itu terus menjadi medium terpenting dalam menyebarkan maklumat parti kepada rakyat," katanya di Facebook pada Ahad.

Menerusi hantaran sama, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memuji komitmen yang diberikan oleh peserta Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia dengan disertai oleh ketua-ketua penerangan empat peringkat pusat, negeri dan bahagian dari enam negeri yang bakal menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

"Ya, UMNO perlu terus bersiap sedia. Setiap jentera penerangan mestilah sentiasa membangunkan strategi komunikasi politik selaras dengan arus peredaran masa," ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam menjayakan program tersebut.

"Semoga program ini diteruskan dan dilaksana sebaiknya," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!