Peduli nasib pekerja terdedah cuaca panas
FENOMENA cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini telah memberi impak kepada kehidupan seharian rakyat.
Paling dibimbangkan perubahan cuaca itu akan memberi kesan langsung kepada kesihatan, selain turut mempengaruhi dan boleh menjejaskan sektor ekonomi sekiranya ia terus berlanjutan.
Merujuk kepada informasi dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), cuaca panas ketika ini boleh memberi tekanan kepada kesihatan sehingga berlaku strok haba dengan risiko kematian.
Semua golongan berisiko menjadi mangsa cuaca panas terutama golongan pekerja yang terlibat dengan aktiviti fizikal di luar seperti buruh, petani dan petugas keselamatan.
Gejala cuaca panas melampau, antaranya sakit kepala, keletihan, lemah tumpuan, pening, lemah otot–otot atau kekejangan, mual dan muntah, malah dalam keadaan paling teruk boleh menyebabkan dehidrasi, kekeliruan serta tidak sedarkan diri.
Dalam memperkatakan tentang cuaca panas ini, perhatian perlu diberikan kepada nasib golongan pekerja yang terpaksa berjemur di bawah terik matahari demi mencari rezeki untuk menyara keluarga.
Kumpulan berkenaan amat berisiko, apatah lagi ramai dalam kalangan pekerja tersebut terdiri daripada golongan yang telah berusia termasuk wanita.
Jika diimbau semasa negara berdepan pandemik Covid-19 dua tahun lalu, petugas-petugas barisan hadapan yang terdedah risiko jangkitan diberi perhatian termasuk cadangan pemberian insentif khas dan sebagainya.
Justeru, dalam situasi ancaman cuaca panas melampau ketika ini, nasib golongan pekerja yang saban hari terdedah cuaca panas juga perlu diberi perhatian kerana mereka memainkan peranan terhadap kesejahteraan rakyat.
Mereka tiada pilihan selain terus bekerja walaupun terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan.
Soal bantuan dan inisiatif khas mungkin boleh diserahkan kepada pihak kerajaan untuk difikirkan, namun sebagai rakyat yang menerima manfaat daripada pekerjaan golongan itu seharusnya turut sama membantu.
KELUHAN
Penulis sendiri pernah terdengar keluhan pekerja pembersihan, anggota Rela, buruh binaan, pekerja penyelenggaraan jalan dan tukang sapu taman, malah petugas keselamatan yang mengakui terkesan dengan cuaca panas melampau.
Mereka mendakwa bertugas dalam cuaca panas untuk tempoh lama memberi kesan kepada kesihatan. Sakit kepala, cepat letih, demam dan kelesuan adalah perkara biasa. Boleh dikatakan semua simptom itu dialami mereka sejak kebelakangan ini.
Namun, mereka tetap bekerja walaupun sebenarnya tidak sanggup menahan perit cuaca panas kerana ada yang bergantung kepada gaji harian yang tidak seberapa. Lebih dikesalkan mereka apabila beban tugas adakala bertambah disebabkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat.
Penulis pernah ternampak seorang anggota Rela bertugas dalam cuaca panas terik untuk mengawal kenderaan keluar masuk dalam satu program di sini beberapa hari lalu.
Agak sedih apabila melihat ada pengunjung yang bersikap acuh tak acuh dengan arahan diberikan. Mereka meletakkan kenderaan sesuka hati hingga mengganggu lalu-lintas.
Natijahnya, anggota Rela yang sudah lencun pakaian seragam akibat kepanasan disalahkan apabila keadaan semakin tidak terkawal.
Dalam situasi ini, semua pihak sama ada kerajaan atau majikan perlu memikirkan sesuatu untuk kebajikan golongan berkenaan. Perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh termasuk peranan golongan pekerja tersebut yang sebenarnya turut memainkan peranan penting.
Fenomena cuaca panas yang turut berlaku di peringkat global sememangnya menimbulkan kebimbangan dan keresahan semua rakyat memandangkan amaran panas tahap satu (berjaga-jaga) telah dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.
Status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga dikeluarkan bagi suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius, malah musim panas yang berlaku dijangka lebih ekstrem menjelang Jun ini apabila Malaysia dijangka bakal mengalami fenomena El Nino.
Jika fenomena itu berterusan sebagaimana dijangkakan, kerajaan perlu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Kesediaan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat jika cuaca panas di negara ini mencapai tahap suhu melampau sememangnya amat dialu-alukan.
* Nik Amirulmu’min Nik Min ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!