Kawal penggunaan gula walaupun harga kekal
ISU harga gula yang dibangkitkan baru-baru ini agak membimbangkan rakyat khasnya golongan B40 dan peniaga makanan serta minuman apabila timbul ura-ura kerajaan akan menaikkan harga pemanis itu.
Setakat ini, sepeket gula yang dijual di pasaran adalah RM2.85. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menafikan khabar angin akan menaikkan harga bahan mentah itu sehingga RM4.60 sekilogram.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, selain mengekalkan harga gula di pasaran, kerajaan juga memastikan bekalannya sentiasa mencukupi.
Bagaimanapun, tidak dinafikan wujud desakan daripada pengilang dan pengeluar gula untuk menaikkan kadar harga berikutan kos pengeluaran yang mereka hadapi tidak seimbang dengan pulangan hasil.
Kerajaan pula dilaporkan membuat penegasan terhadap dua pengeluar gula utama iaitu Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) agar tidak menaikkan harga bahan mentah tersebut.
Menurut Salahuddin, pihaknya berharap keresahan rakyat mengenai isu bekalan dan harga gula malah menerusi perbincangan bersama pegawai tertinggi KPDN dan dua pengilang gula terbesar negara, turut menjamin bekalan gula negara cukup.
Bagaimanapun, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Tan Sri Shahrir Samad menyarankan kerajaan menghentikan pemberian subsidi pukal untuk gula pasir serta menambah subsidi petrol.
Katanya, Malaysia bukan pengeluar gula mentah, selain harga yang dijual rendah menyebabkan bahan asas itu diseludup ke luar negara.
Untuk rekod, harga runcit gula pasir di Malaysia paling rendah iaitu RM2.85 sekilogram berbanding negara ASEAN lain iaitu Vietnam (RM6.20), Filipina (RM8.53), Kemboja (RM5.37), Myanmar (RM6.41), Indonesia (RM4.30), Singapura (RM6.32), Laos (RM4.13), Brunei (RM6.32) dan Thailand (RM3.20).
Bagaimanapun harus diingat, pengambilan gula secara berlebihan dan berterusan sememangnya tidak baik untuk kesihatan, malah dibuktikan pada tahun 2015, apabila Malaysia menjadi antara negara di dunia menggunakan pemanis paling banyak.
Keadaan itu menyumbang kepada trend peningkatan pesakit kencing manis di negara ini.
Tahukah anda, sejak 2019, Malaysia berada di tangga teratas dalam kalangan negara ASEAN yang mempunyai paling ramai penghidap diabetes.
Jadi, berpada-padalah mengambil gula dalam makanan dan minuman anda!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!