Dilema pengundi UMNO pangkah DAP
RAMAI kepimpinan atasan UMNO mula menyeru pengundi parti itu untuk mengundi calon DAP di kawasan masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang diadakan tidak lama lagi.
Bagaimanapun menjadi persoalan sejauh mana sokongan mampu diberikan oleh pengundi UMNO terhadap calon dari DAP yang sebelum ini pernah menjadi seteru parti keramat Melayu tersebut.
Ini berikutan sentimen DAP yang anti-Melayu dan anti-Islam sudah ditanam ke dalam fikiran orang ramai khususnya orang Melayu sejak sekian lama sehingga menyebabkan terdapat pihak yang masih lagi berasa ragu-ragu dan fobia untuk mengundi parti berkenaan.
Perkara sedemikian sudah tentu meletakkan pengundi UMNO berada dalam keadaan dilema sama ada perlu atau tidak memangkah calon DAP pada PRN nanti.
Malah penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, ramalan pengundi UMNO dijangka sukar untuk memberikan undi kepada calon DAP berdasarkan permusuhan antara UMNO-DAP yang sudah berlarutan sekian lama sebelum kedua-dua parti menjadi sekutu di bawah Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, hanya sekitar lima atau enam daripada 10 pengundi UMNO di satu-satu kawasan dijangka memangkah calon DAP pada PRN.
Namun begitu, seruan daripada kepimpinan UMNO yang mula meminta pengundi UMNO untuk mengundi DAP pada PRN nanti atas nama Kerajaan Perpaduan mampu membawa kepada peralihan sokongan pengundi UMNO terhadap DAP.
Pada Jumaat, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pengundi UMNO perlu memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan pada PRN tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.
Menurut Ahmad, gesaan tersebut bukan atas nama parti tertentu sebaliknya atas nama Kerajaan Perpaduan serta titah Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga kestabilan politik negara.
Selain itu, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman menyatakan sejak UMNO membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan, DAP dilihat sudah tidak ekstrem sebagaimana semasa mereka bersama Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid pula berkata, tiada sebarang isu untuk ahli UMNO mengundi calon parti PH termasuklah DAP di PRN enam negeri nanti memandangkan BN dan PH merupakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
DAP juga berpandangan sama apabila Setiausaha Publisiti Kebangsaannya, Teo Nie Ching turut menyeru ahli dan penyokong DAP memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO yang merupakan rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan pada PRN di enam negeri akan datang.
Usaha dan seruan dibuat oleh kepimpinan atasan UMNO mengajak pengundi UMNO mengundi DAP pada PRN merupakan kunci penting bagi memastikan kestabilan politik negara selain mengukuhkan kerajaan sedia ada.
Ia juga penentu sejauh mana kerjasama antara PH-BN dapat mengembalikan sokongan rakyat terutama pengundi Melayu terhadap gabungan itu.
Meskipun ia merupakan suatu yang 'pahit' untuk diterima bagi sesetengah pengundi UMNO namun kerjasama antara BN-PH perlu diperkukuhkan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil selaras atas nasihat Yang di-Pertuan Agong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!