Hati-hati buat haji badal - Mufti
GEORGETOWN - Mereka yang berniat untuk mengupah orang lain untuk mengerjakan ibadah haji atau haji badal perlu berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, haji badal mempunyai syarat-syarat sahnya dan bukan boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
Menurutnya, perlu diketahui bahawa seorang Muslim hanya dibenarkan mengerjakan haji badal untuk seorang sahaja, tidak boleh melakukannya bagi lebih daripada seorang.
"Begitu juga seorang Muslim yang fakir atau miskin, tidak sah mewakilkan orang lain melaksanakan rukun ini bagi dirinya kerana kewajipan haji dikira gugur daripada seorang yang tidak berkemampuan dari sudut kewangan.
"Oleh itu, saya menasihatkan kepada mereka yang berniat hendak membuat haji badal untuk ibu bapa atau ahli keluarga yang uzur atau telah meninggal dunia supaya berhati-hati agar tidak menjadi mangsa individu atau pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dalam bab haji badal ini," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Kata beliau lagi, seorang Muslim yang telah menunaikan rukun haji bagi dirinya sendiri adalah diharuskan (sama ada dengan upah atau sukarela) untuk mengerjakan fardhu haji bagi seorang Muslim yang lain.
"Melakukan badal haji bagi menggantikan seorang Muslim yang lain adalah diharuskan di dalam syariat jika sekiranya seseorang itu terhalang untuk mengerjakan haji sendiri dengan halangan-halangan yang kekal seperti usia yang lanjut (tua), sakit yang tiada harapan kesembuhannya atau telah meninggal dunia.
"Bagaimanapun, halangan-halangan yang bersifat sementara seperti sakit yang diharapkan kesembuhannya, tiada keamanan dalam perjalanan atau seumpamanya, maka tidak sah haji yang diwakilkan kepada orang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!